Rakaman video yang tular memperlihatkan seorang pelanggan tidak berpuas hati dengan kedudukan mejanya di restoran milik Haqiem Rusli sekitar Ramadan lalu telah menjejaskan perniagaan penyanyi itu.
Haqiem, 24, berkata, meskipun tindakan lelaki itu telah menjejaskan reputasi restorannya, Santhai Village, namun dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan terhadap pelanggan itu yang dianggap sengaja mereka cerita.
“Kejadian itu berlaku sebelum waktu berbuka puasa dan kami membuka meja lebih disebabkan pelanggan yang ramai tetapi bukan di kawasan kedai.
“Sekiranya kami tidak berbuat demikian, mungkin dia tidak dapat berbuka puasa ketika itu.
“Tiada sebarang keperluan untuk saya beri maklum balas tentang hal tersebut kerana ia bukan salah kami. Memang terkilan kerana apa yang berlaku sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan saya,” katanya kepada mStar.
Haqiem berkata demikian ketika majlis santai bersama artis rakaman FMC yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam video berkenaan, pelanggan tersebut meluahkan rasa kecewa apabila kedudukan mejanya jauh dengan tempat mengambil makanan selain tiada pencahayaan di tempat itu.
Enggan mengambil tindak lanjut kerana menjejaskan perniagaannya, Haqiem dalam masa sama menganggap tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau saya jadi dia, tak perlu nak post di media sosial kerana boleh tutup periuk nasi orang lain. Ia satu perbuatan dosa. Tidakkah dia rasa kasihan dengan peniaga seperti saya?
“Kalau ada masalah boleh terus buat aduan di kaunter atau berjumpa saya jika berada di sana. Apa yang berlaku adalah urusan dia dengan Tuhan. Tak perlu untuk saya ambil tindakan,” jelasnya. – Agensi