Perniagaan kasut buatan tangan Jordan di ambang kepupusan

AMMAN – Dia pernah digelar sebagai ‘Raja Kasut’, tetapi selepas berdekad-dekad mencipta kasut untuk raja, permaisuri dan presiden, Jamil Kopti yang berusia 90 tahun bimbang barangan import yang murah membunuh kemahirannya.

“Kami mula kehilangan pelanggan satu demi satu, dan kami terus kehi-langan kedai sehingga kami menutup tiga buah kedai,” kata Kopti, dipercayai pembuat kasut buatan tangan tertua di Jordan.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, profesion kami mula merosot secara mendadak berdepan kasut import asing yang membanjiri pasaran,” keluhnya sambil meninjau bengkelnya yang dahulunya pesat.

Kini dia hanya mempunyai lima pekerja, jauh berbeza daripada 42 kakitangan yang pernah diambilnya dahulu. Dan di sekitar bengkel di daerah Al-Jofeh yang popular di Amman, beratus-ratus acuan kasut kelihatan mengumpul habuk.

Selepas menceburkan diri dalam perniagaan pada tahun 1949 pada usia 18 tahun, Kopti menghadiri pameran kasut setiap tahun di Bologna dan Paris. Pada tahun 1961, di sebuah pertunjukan di Universiti Jordan, dia bertemu mendiang Raja Hussein dan menghadiahkannya empat pasang kasut buatan tangan.

Raja Hussein menjadi peminat segera, terutamanya kasut hitam, formal, dan “selepas itu, dan selama 35 tahun, saya membuat kasut raja”.

“Dia suka kasut klasik,” kata Kopti sambil mempamerkan dua gambar lamanya dalam telefonnya dan mendiang raja. Dia dianugerahkan Pingat Kemerdekaan Jordan dan sering menjadi tetamu istana pada majlis-majlis khas.

Salah seorang pekerja Jamil al-Kopti yang masih bertahan bekerja bersamanya melakukan proses pembuatan kasut. – AFP
Jamil al-Kopti menunjukkan gambar pertemuannya dengan mendiang Raja Hussein pada tahun 1961 di sebuah pameran di Universiti Jordan. – AFP
Kelihatan seorang pekerja memasang tapak kasut. – AFP
Youssef Abu Sariya, pekerja di bengkel Zuhair Shiha memasang bahagian-bahagian sehingga menjadi sepasang kasut. – AFP
Jamil al-Kopti, pembuat kasut tertua di Amman ketika ditemui pemberita di bengkelnya di ibu negara Jordan. – AFP
Kasut dipamerkan di kedai pembuat kasut Jordan, Zuhair Shiha di ibu negara Jordan, Amman. – AFP

Buatan Amman

Dan kemasyhuran Kopti tersebar. Pada tahun 1964, raja melawat Perancis di mana beliau bertemu dengan presiden ketika itu, Charles de Gaulle.

“Sepanjang masa dalam pertemuan itu…dia melihat kasut saya dan apabila dia bertanya kepada saya dari mana saya mendapatkannya, saya memberitahunya ‘Ia dibuat di Amman’,” kata raja kepada Kopti.

“Raja Hussein meminta saya membuat dua pasang kasut untuk de Gaulle,” kata Kopti, sambil menambah “saiz kasutnya sangat besar”.

Menurut Persatuan Pengilang Kasut negara itu, dahulu terdapat lebih 250 bengkel dan kilang kasut di Jordan, menggupah kira-kira 5,000 orang. Hari ini “kami mempunyai sekitar 100 bengkel dan kurang daripada 500 pekerja”, kata Naser Theyabat, ketua persatuan itu.

Sepanjang kerjayanya yang panjang, Kopti telah membuat kasut untuk Raja Abdullah II yang baharu dan kebanyakan putera dan puteri Jordan, serta ahli politik dan pegawai tentera terkemuka.

Menggunakan kulit import dari Perancis, Itali, dan Jerman, bengkelnya pernah membuat 200 pasang kasut sehari. Kini ia tidak lebih 10 pasang, memaksa dia beralih kepada kasut perubatan dan kasut kanak-kanak.

Tetapi Kopti percaya pelanggan setianya akan membantunya bertahan, menunjukkan seorang pelanggan yang telah membuat kasut di kedainya selama 50 tahun. Pembuat kasut kulit buatan tangan mempunyai ‘zaman ke-emasan’ pada 1980an dan 1990an, ingat Theyabat. Namun seiring berjalannya waktu, import telah meningkat.

Ketua Sindiket Tekstil, Pakaian Sedia dan Kasut Sultan Allan berkata sebelum pandemik COVID-19 Jordan mengimport kira-kira 44 juta dinar (AS$62 juta) kasut setiap tahun. Angka-angka ini berkemungkinan berkurangan disebabkan oleh kesan wabak tersebut.

“Kraf ini di ambang kepupusan,” kata Theyabat sambil mengeluh pembuat kasut Jordan tidak mendapat sokongan.

“Sebaliknya, terdapat dasar untuk membanjiri pasaran dengan kasut buatan China.”

Keuntungan terlalu rendah

Di bengkel Marina di sebuah bangunan lama di daerah Ashrafiyeh, tiga pembuat kasut sedang menjahit tapak kasut, menambah tumit dan menggunting kulit, diperhatikan oleh pemilik Zouhair Shiah.

“Penurunan teruk itu bermula pada 2015 apabila pasaran dibanjiri dengan kasut buatan China, Vietnam, Syria dan Mesir,” kata lelaki berusia 71 tahun itu kepada AFP.

“Saya pernah mempunyai 20 pekerja dan kini tinggal tiga. Kami pernah membuat 60 hingga 70 pasang kasut sehari berbanding kurang daripada 12 hari ini.”

Sambil memegang kasut, dia menunjukkan ia ‘kuat dan tahan lama’ dan berkata kasut itu berharga 20 dinar (AS$28). “Keuntungan kami sangat rendah.”

Shiah mengharapkan sokongan kerajaan untuk “mengurangkan cukai… kerana kita mempunyai hutang yang tidak dapat kita bayar.”

Membongkok di atas mesin pemotong kulit, Youssef Abu Sarita mengimbau: “Saya mula melakukan ini 50 tahun lalu. Saya suka pekerjaan ini dan tidak tahu selain ini.

“Apa yang berlaku kepada kami adalah menyedihkan. Kebanyakan bengkel ditutup dan pekerja telah berhenti,” katanya.

“Saya yakin kita akan menghadapi nasib yang sama, tetapi saya tidak tahu bila.” – AFP