Perniagaan kraf tangan memperkasa ibu tunggal

LUSAKA – Bagi Nellie Mwansa, 37, seorang penduduk Lusaka, ibu kota Zambia, berniaga kraftangan telah menjadi cara hidup.

Selepas bertahun-tahun mencari rezeki daripada menjual barangan buatan tangan, Mwansa yang pakar mereka barang kemas dan pakaian tradisional buatan tangan memutuskan untuk membantu ibu tunggal lain sepertinya menggunakan bakat mereka untuk menyara keluarga.

“Saya dan rakan saya memutuskan untuk tampil bersama sekumpulan peniaga-peniaga kraftangan wanita bagi memperkasa ibu tunggal lain yang mempunyai kemahiran membuat dan memasarkan produk buatan tangan,” katanya.

Mwansa menjelaskan kebanyakan ibu tunggal adalah pencari nafkah dan dengan meningkatkan kemahiran ibu-ibu tersebut bagi membolehkan mereka mencari rezeki dan memenuhi keperluan anak-anak mereka adalah satu cara yang pasti untuk membasmi kemiskinan.

“Ibu tunggal berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan hidup. Ini dapat dilihat dari segi cara mereka bergelut untuk membawa anak-anak ke sekolah atau mendapatkan makanan dan tempat tinggal,” katanya.

Peniaga kraftangan Nellie Mwansa (kiri depan) dan Masiso Masiliso bergambar di ruang perdagangan mereka di Lusaka, Zambia. – Xinhua

Mwansa mendedahkan, kumpulan yang bermula kira-kira empat tahun lalu itu kini dianggotai lapan ahli yang kesemuanya merupakan ibu atau bapa tunggal yang terlibat dalam perniagaan kraftangan.

“Idea untuk memberi tunjuk ajar dan melatih ibu tunggal dalam menghasilkan pelbagai kraf tangan ini adalah supaya mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang yang ada dalam industri kraf dan memperbaiki diri dan komuniti masing-masing,” tambahnya.

Mwansa juga mendedahkan kumpulan itu juga telah berjaya mendapatkan tempat perdagangan yang baik di salah sebuah pusat beli-belah di Lusaka untuk ahlinya dapat mempamerkan dan menjual barangan mereka.

Dan rakan sekerjanya Masiliso Masiliso menyatakan berniaga kraftangan membantu ramai ibu tunggal menyara keluarga mereka.

“Dari sinilah ramai di antara kami yang dapat membawa anak-anak ke sekolah dan memastikan keluarga kami mempunyai makanan dan tempat perlin-dungan,” kata Masiliso berusia 45 tahun yang pakar dalam kraf kasut dan beg tangan buatan sendiri.

Beliau seterusnya menekankan menjadi sebahagian daripada golongan ibu tunggal yang melibatkan diri dalam kraftangan telah membantu beliau meningkatkan kemahiran sebagai peniaga kraftangan. – Xinhua