Perniagaan UK gesa lebih banyak bantuan

LONDON, 19 JAN – Perniagaan utama Britain hari ini mendesak kerajaan untuk memperluaskan skim sokongan pekerjaan dan cuti percukaian untuk membantu syarikat yang dilanda koronavirus.

Dengan kebimbangan bahawa berpuluh-puluh ribu perniagaan kecil akan terjejas, Gabungan Industri Britain (CBI) menggesa menteri kewangan Rishi Sunak untuk bertindak segera, dengan berkata beberapa syarikat tidak lagi mampu menunggu sehingga langkah baharu bagi peruntukan tahunannya pada 3 Mac nanti diumumkan.

“Pemilik perniagaan berdepan dengan kesukaran dalam pekerjaan, bahkan berfikir sama ada mereka mampu bertahan,” kata Ketua Pengarah CBI, Tony Danker dalam satu kenyataan.

“Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mendukung perniagaan UK melalui krisis ini, (tetapi) kami tidak ingin melepaskan semua kerja keras kami dari tahun lalu dengan harapan yang tidak pasti,” tambahnya.

CBI mendesak Sunak untuk memperluaskan skim ‘cuti dari bertugas’ yang membiayai sebahagian besar gaji untuk berjuta-juta pekerja sektor swasta.

Pelan sokongan berbilion-bilion pound, yang dilancarkan pada Mac lalu, akan berakhir pada akhir April tetapi CBI mahu ia berterusan sehingga akhir bulan Jun.

Sebilangan besar UK kembali dikenakan perintah berkurung bulan ini seperti yang dilaksanakan pada awal suku kedua 2020 apabila dunia berdepan kesukaran dalam menangani penularan COVID-19. – AFP