Perodua Myvi baharu di Brunei

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan Perodua di Brunei telah melancarkan Perodua Myvi baharu yang disiarkan secara langsung dari Bilik Pameran GHK Motors Sdn Bhd, Beribi, menerusi Facebook Live Perodua Brunei, hari ini.

Perodua Myvi 1.3G merupakan hatchback kompak yang terkenal di Malaysia yang ditawarkan lengkap dengan bodykit pada Edisi-S.

Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; Pengarah GHK Motors, Jake Goh dan Pengarah Urusan Jualan Bahagian Perodua, Au Thien Kiong serta perwakilan dari BIBD At-Tamwil Berhad dan Bank Baiduri Berhad.

Perodua Myvi yang telah lama ditunggu-tunggu terus menawarkan ruang yang selesa, praktikal dan luas yang sesuai dengan kereta Entry level dan cekap bahan api terutama yang menjimatkan bagi perjalanan jauh.

Perodua Myvi terbaharu ini menekankan empat elemen utama iaitu teknologi moden, reka bentuk yang segar, ruang yang serba boleh dan keselamatan pintar.

Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, Jake Goh, Au Thien Kiong dan perwakilan BIBD At-Tamwil Berhad dan Bank Baiduri bergambar ramai semasa majlis pelancaran berkenaan.
Ruang dalaman kereta Perodua Myvi baharu yang telah dilancarkan dalam pasaran Brunei, kelmarin.

Ia dilengkapi enjin EEV terbaharu dengan 1.3L empat silinder, dual VVT-I yang datang dalam transmisi empat kelajuan automatik dan memastikan pemanduan senyap yang lancar serta penjimatan bahan api yang tinggi dengan 20.3km/l.

Reka bentuk Myvi baharu ini lebih anggun dan aerodinamik untuk prestasi lebih baik dan terdapat dalam tiga warna iaitu Glittering Silver Metalic, Lava Red Metallic dan Ivory White Metallic.

Selain itu, Myvi juga dilengkapi dengan rim aloi 14 inci, lampu depan LED dengan fungsi auto-off & follow me home dan antena shark fin.

Myvi mempunyai ciri ruang serba boleh dengan susunan tempat duduk yang fleksibel daripada lima penumpang kepada mod penuh rata dan but yang mempunyai keluasan hingga 277l dan boleh memuatkan hingga empat bagasi.

Orang ramai boleh mengunjungi Bilik Pameran GHK Motors di Beribi untuk melihat lebih dekat Perodua Myvi yang serba baharu itu.

Majlis pelancaran berkenaan diadakan dengan mengikuti garis panduan daripada Kementerian Kesihatan seperti mengamalkan penjarakan sosial, memeriksa suhu badan dan menggunakan imbasan kod QR BruHealth sebelum masuk dan keluar premis.