Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Perompak bertukul ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat kes jenayah rompak menggunakan senjata yang berlaku di sebuah kedai runcit, Jalan Pasir Berakas, Kampung Lambak, Daerah Brunei dan Muara.

    Kejadian yang berlaku petang kelmarin itu membabitkan seorang jurujual warga asing di kedai tersebut telah menjadi mangsa kes rompakan suspek, yang dipercayai menggunakan tukul sebagai senjata untuk menggertak mangsa.

    Mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan terpaksa menurut permintaan suspek untuk menyerahkan kesemua wang ada di dalam mesin juruwang kedai, menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Sejurus mendapatkan kesemua wang, suspek bertindak melarikan diri menggunakan kenderaan suspek yang diletakkan di luar kedai.

    Pihak polis di Balai Polis Berakas kemudiannya segera dihubungi bagi menjalankan siasatan awal dan seterusnya Daerah Polis Daerah Brunei Muara telah mengerahkan keanggotaan detektif dan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek pada hari yang sama.

    Kes berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak PPDB dan sehubungan itu, pihak polis juga telah berjaya menemukan beberapa barang bukti bagi membantu penyiasatan dan pendakwaan kes tersebut.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu rompak.

    Jika sabit kesalahan akan membawa hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan sebat tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

    Di kesempatan ini, PPDB juga menasihatkan kepada semua pemilik premis perniagaan supaya akan dapat memasang alat-alat keselamatan seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan dan pengesanan.

    Gambar dari video CCTV menunjukkan kejadian rompak yang berlaku di sebuah kedai runcit baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...