Perompak bunuh kanak-kanak diberkas

BANGKOK, 22 JAN – Polis di Thailand telah menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan pembunuhan kejam terhadap tiga individu termasuk kanak-kanak, semasa rompakan kedai emas yang mengejutkan negara itu.

Media tempatan berkata suspek merupakan pengarah sebuah sekolah rendah.

Stesen TV Thai hari ini menyiarkan rakaman secara langsung ketika polis mengarahkan lelaki itu, yang memakai topeng muka dan topi besbol, ke sebuah balai polis di Lopburi, kira-kira 145 kilometer di utara Bangkok, tatkala orang ramai di sana mempamerkan kemarahan mereka terhadap perlakuan kejam suspek.

Ketua Polis Thailand, Chakthip Chaijinda berkata, suspek itu memberi kerjasama dan tidak menafikan dalam sebarang penglibatannya.

Insiden rompakan itu berlaku pada 9 Januari di sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Lopburi. Video keselamatan menunjukkan seorang lelaki dilihat mendekati kedai itu, membawa pistol bersama alat penyengap.

Dia kemudian melepaskan tembakannya ke arah kakitangan dan mereka yang melalui kawasan kedai itu. Seorang budak lelaki berusia dua tahun terkena tembakan tersebut ketika dia berjalan bersama ibunya melewati kedai itu. Pengawal keselamatan dan pembantu kedai juga terbunuh, manakala empat lagi lainnya mengalami kecederaan. Perompak kemudian melompat ke kaunter dan mengambil beberapa kalung emas sebelum melarikan diri. – AFP

Gambar daripada rakaman CCTV menunjukkan suspek ketika memasuki kedai barang kemas berkenaan. – Agensi