Perompak siber didenda AS$109j

MANILA, 10 Jan – Seorang bekas pengurus bank dijatuhi hukuman penjara lama dan denda berjumlah AS$109 juta pada hari ini dalam sabitan pertama berhubung salah satu rompakan siber terbesar yang menyaksikan AS$81 juta dicuri daripada bank pusat Bangladesh.

Penggodam memindah wang tunai tersebut pada tahun 2016 daripada akaun Amerika Syarikat (AS) Bangladesh ke bank Filipina, Rizal Commercial Banking Corp (RCBC), di mana ia dikeluarkan dengan serta-merta.

Kecurian itu mendedahkan Filipina sebagai tempat perlindungan untuk wang kotor, di mana beberapa undang-undang kerahsiaan bank paling ketat di dunia melindungi pemegang akaun daripada penelitian.

Sebuah mahkamah Manila mendapati Maia Deguito, yang menjadi pengurus cawangan RCBC di mana wang dimasukkan, bersalah atas lapan tuduhan mengubah wang yang membawa hukuman penjara empat tahun.

Mahkamah juga mengarahkannya membayar denda berjumlah AS$109 juta. Deguito merancang merayu dan boleh dibebaskan dengan ikat jamin sehingga sabitan dimuktamadkan.

Pihak berkuasa mendakwa Deguito membantu menyelaras pemindahan wang, yang diambil daripada akaun simpanan Bangladesh di bank Rizab Persekutuan di AS.

Deguito ialah satu-satunya individu yang telah disabit dalam kes itu, yang telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa, menurut peguamnya Demetrio Custodio kepada AFP, menambah anak guamannya telah menjadi mangsa aniaya.

“Dia tidak mungkin me-lakukannya sendiri. Sebuah bank dengan saiz RCBC tidak mungkin membenarkan seorang pegawai bank pangkat rendah merancangnya, maka terdapat orang lain yang juga terbabit,” kata Custodio.

RCBC berkata dalam satu kenyataan bahawa ia adalah ‘mangsa’ dan Deguito ialah pekerja ‘jahat’.

Hanya AS$15 juta daripada itu wang ditemui selepas ia memasuki Filipina dan dipindahkan.

Berpuluh juta wang rompakan hilang dalam kasino Manila, yang pada masa itu dikecualikan daripada peraturan bertujuan menghalang penggubahan wang. – AFP