XI’AN, 31 Mei – Seorang lelaki di Wilayah Shaanxi, China telah dijatuhkan dua tahun penjara dengan pemerhatian selama tiga tahun serta denda sebanyak 30,000 yuan (AS$4,674) kerana merosakkan jambatan purba.
Menurut mahkamah di Daerah Weiyang, Bandar Xi’an itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut dikatakan mahu mengendalikan operasi letak kereta di sebuah kampung di daerah itu.
Dia kemudian mula menggali kawasan itu menggunakan mesin pengorek pada Mei 2017. Pasukan arkeologi dari jambatan purba Sungai Weeiha telah melaporkan aktivitinya kepada polis.
Lelaki itu berjanji akan berhenti mengorek dan menimbus semula lubang itu selepas dia diberi amaran oleh polis setempat bahawa kawasan itu merupakan sebahagian daripada tapak peninggalan jambatan purba. Namun pada bulan Julai, dia didapati mengorek semula dan sekali lagi pasukan arkeologi melaporkan perkara itu kepada polis.
Polis menyatakan bahawa lelaki itu telah merosakkan 11 peratus daripada struktur utama jambatan dan kawasan sekitar tapak itu.
Jambatan itu, diperbuat daripada kayu dan batu serta panjang keseluruhannya adalah 880 meter, telah dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lalu. – Xinhua