Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Perpaduan Islam mampu sebar keharmonian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Perpaduan memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran penularan wabak COVID di mana kerjasama antara negara termasuklah semua lapisan masyarakat, tidak kira apa jua bangsa atau agama, bersama-sama berdiri untuk membantu antara satu sama lain dalam masa krisis ini.

    “Justeru itu, perpaduan Islam mampu menyebarkan keharmonian dan perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat,” tekan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa berucap pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang berlangsung di Sunway Resort, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Persidangan yang julung kalinya diadakan itu menghimpunkan 44 orang penceramah dari 17 buah negara, dan diharapkan ianya akan dapat menegakkan Islam sebenar yang sederhana dan bertolak ansur demi mewujudkan keamanan dan keharmonian sejagat.

    Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim selanjutnya menyentuh mengenai peranan agama memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran dalam era yang kompleks dan tidak menentu di dunia moden.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyatakan bahawa menjalani cara hidup yang sederhana merupakan salah satu pendekatan utama dalam tadbir urus Negara Brunei Darussalam terutamanya dalam perancangan dan perlaksanaan dasar di kesemua kementerian termasuklah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim semasa berucap pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang berlangsung di Sunway Resort, KL.
    Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim semasa bertemu perdana menteri Malaysia.

    Dengan pendekatan ini, ianya dapat mengurangkan dan mencegah unsur-unsur perubahan radikal dan ekstrem.

    Menurutnya, perancangan dan tindakan yang komprehensif dalam menangani ekstremisme dan keganasan yang ditimbulkan oleh politik dan kerumitan dunia semasa adalah sangat penting untuk Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa berusaha bagi menentang kegiatan yang tidak normal tersebut.

    Beliau turut mengongsikan yang Negara Brunei Darussalam melalui KHEU meletakkan pendidikan dan perkhidmatan agama yang mampan sebagai sebahagian daripada paksi kepada usaha-usaha dalam perkara tersebut.

    Sistem pendidikan agama yang tersusun dan teratur dapat menyediakan ekosistem yang kukuh kepada semua lapisan masyarakat dalam memastikan pemahaman dan pengamalan Islam yang konkrit secara bertolak ansur dan aman.

    Selain daripada pendidikan agama, katanya, penyebaran syiar dan dakwah Islam turut memastikan imej Islam sebagai agama yang bertolak ansur, sederhana dan aman.

    Dalam pada itu, beliau juga turut menyatakan teknologi mampu menyebar mesej secara luas tanpa batas sempadan dan percaya ianya boleh dijadikan wadah dalam memastikan kerjasama dan keharmonian dalam pendekatan agama untuk menangani konflik dan sebagainya.

    Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 dengan tema ‘Kesatuan Ummah’ anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL) telah pun dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Jun.

    Turut sama menghadiri seminar tersebut ialah Ketua Bahagian Antarabangsa dan MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim dan pegawai kanan KHEU.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...