Perpustakaan IPT manfaatkan IR 4.0

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Selaras dengan kepesatan teknologi berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), perpustakaan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Negara Brunei Darussalam telah memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini dengan memperkasakan koleksi sumber maklumat digital dan pelbagai jenis perkhidmatan yang lebih efisien.

Sehubungan ini, Fakulti Pendidikan dan Perpustakaan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Bengkel Reciprocal Borrowing Scheme (RBS) khas untuk warga dan para pelajar KUPU SB.

Bengkel berkenaan diharap akan memberikan para peserta cara untuk mengakses pangkalan data jurnal antarabangsa seperti Web of Science (WOS), Thomson Reuters, Scopus, ProQuest dan banyak lagi untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti berasaskan maklumat dan kaedah terkini.

Bengkel berkenaan merupakan perkongsian pengetahuan dan kemahiran bagi memudahkan tenaga akademik dan para pelajar untuk mengakses bahan rujukan secara percuma yang terdapat di Perpustakaan UBD dan IPT lain di negara ini.

Pembimbing bengkel terdiri daripada pustakawan KUPU SB, Hajah Razidah binti Jamaluddin dan pustakawan UBD, Awang Muhammad Suhaimi bin Mohd Salleh. Bengkel dikendalikan Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan, KUPU SB, Dayang Waznah binti Haji Mohammad Ja’afar.

Antara perkara yang disentuh adalah mengenai sistem Perpustakaan KUPU SB dan UBD, pengenalan mengenai RBS, e-Click Online Public Access Catalogue (OPAC), Openathens.net dan Reference Manager.

Bengkel Reciprocal Borrowing Scheme dibimbing oleh Hajah Razidah dan Awang Muhammad Suhaimi.