Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kelab Lions Bandar Seri Begawan, dengan kerjasama BUGTAW dan Sunil’s Emporium, menyumbangkan rak buku, buku kanak-kanak dan langsir kepada Perpustakaan Sekolah Bakti Dewa di Daerah Tutong, baru-baru ini.
Ketua Sekolah Bakti Dewa, Dayang Siti Noorhasiah Hashim, mengalu-alukan kehadiran pegawai Kelab Lions Bandar Seri Begawan bersama rakan-rakan projek mereka dan mengucapkan penghargaan kepada kelab kerana menyumbang buku kanak-kanak yang diperlukan dan rak buku serta langsir untuk menjadikan perpustakaan mereka lebih menarik dan selesa digunakan oleh pelajar tadika dan sekolah rendah.
Setiausaha Kelab Lions BSB, Sunil Ramchandani, telah menyampaikan ucapan ringkas bagi pihak presiden dan pegawai kelab tersebut yang mengiktiraf sokongan rakan kerjasama projek dan pegawai sekolah untuk memastikan kerja-kerja baik pulih perpustakaan dapat dilaksanakan.
Pengasas bersama BUGTAW Shanna dan Sienna Holmes membacakan buku cerita kepada 58 pelajar tadika untuk memberi inspirasi serta memupuk tabiat membaca buku bagi menambah perbendaharaan kata.