Perry: Sungguh ajaib saya masih hidup

LONDON, 22 NOV – Pemandu teksi yang terselamat dalam pengeboman yang gagal di dalam teksinya di bandar Liverpool di utara England pada hujung minggu lalu semalam berkata, adalah satu ‘keajaiban’ bahawa dia masih hidup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui polis tempatan, David Perry menggelar serangan itu – yang membabitkan bom mentah buatan sendiri yang mengandungi bebola besi – sebagai ‘tindakan jahat’. Peranti buatan Emad Al Swealmeen yang dilahirkan di Iraq meletup di belakang teksi Perry di luar hospital, beberapa saat sebelum acara menghormati perang tentera yang terkorban pada Remembrance Sunday.

Swealmeen, 32, terbunuh dalam letupan itu, manakala pemandu teksi terselamat dengan hanya mengalami cedera ringan.

Polis, yang segera mengisytiharkan letupan itu sebagai insiden pengganas, masih merungkai apa yang berlaku dan motif di sebalik serangan itu, tetapi laporan menyatakan Perry pantas mengunci pengebom di dalam kenderaan. – AFP

Gambar serahan Polis Manchester menunjukkan pemandu teksi David Perry dan isteri Rachel. – AP