Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Mengekalkan persaingan dalam sektor pembinaan adalah penting bagi memastikan pertumbuhan yang cekap dan mapan serta mewujudkan pasaran berdaya saing bagi memberikan banyak pilihan dengan harga yang kompetitif kepada pengguna.
Perkara ini ditekankan oleh Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny semasa merasmikan Bengkel Undang-undang Persaingan ASEAN di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, ahli-ahli Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam dan para pegawai kanan daripada autoriti persaingan, pengawalan selia sektor dan Pejabat Peguam Negara. Dato Paduka Awang Eddie seterusnya menjelaskan, selain menyokong Wawasan Brunei 2035, sektor pembinaan juga merupakan sektor berkepentingan bagi setiap ekonomi dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi sesebuah Negara.
“Ia bukan saja menyumbang kepada pembinaan dan penjagaan struktur dan infrastruktur yang diharapkan setiap industri lain tetapi juga merupakan majikan pekerja-an terbesar di beberapa negara lain,” tambahnya.
Beliau seterusnya menambah, di rantau ASEAN, purata pertumbuhan bagi sektor pembinaan adalah sebanyak 6.1 peratus setahun dalam lima tahun akan datang.


“Pembangunan pengetahuan dalam kalangan pihak berkuasa dan pengawal selia sektor adalah penting bagi memastikan persekitaran perniagaan pembinaan dapat berfungsi dengan cekap dan bebas daripada sebarang perlakuan antipersaingan bagi menjamin pulangan maksimum kepada pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.
Bengkel yang melibatkan 50 orang pegawai autoriti persaingan dan pengawal selia sektor pembinaan dari 10 buah negara anggota ASEAN itu antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara autoriti persaingan dan pengawal selia sektor pembinaan di rantau ASEAN dalam sama-sama menangani isu persaingan dalam sektor pembinaan.
Bengkel dikendalikan oleh pakar persaingan daripada Australian Competition and Consumer Commission dan Melbourne Law School, Universiti Melbourne yang membincangkan elemen-elemen utama undang-undang persaingan di rantau ASEAN dan peranan kerajaan dalam menangani perlakuan anti persaingan.
Kajian kes dan contoh praktikal khusus sektor pembinaan juga diguna pakai dalam membantu peserta bengkel untuk memahami perlaksanaan undang-undang persaingan.
Bengkel itu dianjurkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Australian Competition and Consumer Commission dan Sekretariat ASEAN di bawah sokongan ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Area Economic Cooperation Work Programme (AANZFTA ECWP).