Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persaingan sengit Kejohanan Hari Guru

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Kejohanan Bola Jaring Sempena Sambutan Hari Guru ke-27 2017 bermula pagi tadi dengan enam perlawanan dalam Kategori ‘Beginners’, bagi pemain yang belum pernah menyertai kejohanan peringkat negara atau yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Mengambil tempat di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie, perlawanan pertama kejohanan menyaksikan Kluster 4 menang 14-5 ke atas Kluster 2, disusuli dengan kebangkitan Kluster 1 di separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 13-9 ke atas Kluster 5, selepas ketinggalan 4-6 pada babak pertama.

    Kluster 4 melakar kemenangan keduanya selepas menewaskan Pejabat Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan Kementerian Pendidikan (DA) dengan jaringan 12-6.

    Perlawanan keempat berlangsung menarik apabila Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang selesa mendahului 5-2 pada babak pertama, berjaya dikejar Kluster 1 yang mencatat 10 jaringan berbanding tujuh jaringan bagi IPT pada babak kedua untuk keputusan muktamad kedua-dua pasukan terikat 12-12.

    Kluster 2 mengalami kekalahan keduanya apabila dikalahkan 5-10 oleh DA dalam perlawanan kelima.

    Antara aksi menarik di antara Kluster 4 (jingga) dan Kluster 2 dalam perlawanan pertama Kejohanan Bola Jaring Sempena Sambutan Hari Guru ke-27.

    Sementara di perlawanan terakhir pagi ini, IPT meraih tiga mata penuh setelah menang mudah 11-1 ke atas Kluster 5.

    Sebanyak tujuh buah pasukan menyertai dalam Kategori ‘Beginners’ yang telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan iaitu Kluster 2, DA, Kluster 4 dan Jabatan Pengajian Islam (JPI) dalam Kumpulan A. Manakala Kluster 1, Kluster 5 dan IPT dalam Kumpulan B.

    Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu kemudiannya diteruskan di sebelah petang dengan enam perlawanan dalam Kategori Terbuka. Selain tujuh buah pasukan seperti dalam Kategori ‘Beginners’, sebuah lagi pasukan menyertai Kategori Terbuka iaitu Bahagian Pendidikan Swasta (BPS).

    Kejohanan turut mempertandingkan satu lagi kategori iaitu Kategori Veteran (kementerian-kementerian) yang hanya disertai tiga buah pasukan iaitu Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan.

    Kejohanan itu dibukakan kepada semua warga guru yang sedang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pasukan jemputan yang ditetapkan oleh jawatankuasa iaitu pegawai dan kakitangan yang bukan di kalangan guru dan sedang bertugas di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda