Persaingan sengit, mantap

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah pagi tadi berkenan berangkat menyaksikan Exhibition Match di antara Pasukan The Royal Bees menentang Pasukan Netfit All Stars yang diundang khas dari Australia yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Presiden Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam (BNA), Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili.

Berkenan mengetuai pasukan bola jaring kebangsaan The Royal Bees pada perlawanan berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Sebelum perlawanan dimulakan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah terlebih dahulu berkenan dijunjung disembah kenalkan dengan ahli-ahli Pasukan The Royal Bees dan Netfit All Stars.

Perlawanan bola jaring di antara The Royal Bees dan Netfit All Stars berlangsung dengan cukup sengit sekali meskipun pasukan bola jaring kebangsaan negara tewas tipis 40-43 kepada pasukan handalan antarabangsa tersebut, namun corak permainan pantas dan stamina para pemain kebangsaan negara jelas sekali mempamerkan aksi lebih jauh bertenaga daripada sebelumnya.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah pagi tadi berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung disembah kenalkan dengan ahli-ahli pasukan.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika beraksi menentang Netfit All Stars.

Pada babak suku pertama perlawanan, kedua-dua pasukan kelihatan sa-ling berbalas serangan dengan penuh aksi dan berjaya menjaringkan beberapa gol pada babak tersebut yang mana akhirnya berkesudahan dengan pendahuluan tipis yang berjaya dihasilkan oleh Netfit All Stars 11-13.

Sementara itu dalam babak suku kedua perlawanan, Netfit All Stars terus mengasak kubu pertahanan The Royal Bees dan berulang kali melakukan serangan serta hantaran jauh dan cantik.

Walaupun terus diasak dengan serangan daripada pihak lawan, The Royal Bees juga terus mencari rentak permainan mereka dengan melakukan serangan balas.

Meskipun bentuk fizikal pemain-pemain Netfit All Stars yang lebih tinggi berbanding para pemain kebangsaan negara, tetapi jelas sekali skuad pasukan negara tidak menganggapnya sebagai satu kelemahan malah berjaya mematahkan beberapa serangan dan hantaran daripada pihak lawan.

Babak suku kedua perlawanan berakhir dengan keputusan memihak kepada Netfit All Stars dengan 21-27.

Corak permainan di suku ketiga perlawanan tidak jauh berbeza dengan permainan pada suku pertama dan kedua dan berakhir dengan keputusan 36-29 di mana Netfit All Stars berjaya mendahului The Royal Bees dengan tujuh mata jaringan.

Permainan lebih bertenaga, pantas dan agresif pada suku terakhir perlawanan jelas menambah kehangatan suasana. Dengan sorakan daripada para penyokong yang turut sama hadir di Stadium Tertutup membuatkan para pemain The Royal Bees berjaya melakukan beberapa serangan balas dan menghasilkan gol-gol menarik dan cantik yang membolehkan jurang kutipan mata semakin berkurangan menuju ke saat-saat terakhir perlawanan yang akhirnya berkesudahan dengan keputusan 43-40 berpihak kepada Netfit All Stars.

Pertunjukan permainan yang dihasilkan oleh The Royal Bees jelas memuaskan hati para penonton yang menghadiri perlawanan berkenaan lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan para pemain profesional yang jauh lebih berpengalaman.

Sejurus selepas berakhirnya perlawanan berkenaan, para pengunjung juga diberikan peluang untuk bertemu dan bergambar bersama bintang-bintang bola jaring profesional Netfit All Stars dan The Royal Bees.

Lebih 1,300 orang hadir bagi menyaksikan perlawanan yang julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam yang merupakan antara sebahagian daripada persiapan pasukan bola jaring kebangsaan negara menghadapi saingan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila yang akan berlangsung pada 30 hingga 11 Disember depan.