KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Persamaan ekonomi yang wujud antara Mexico dan Malaysia memberikan situasi menang-menang, sekaligus dapat meningkatkan lagi peluang pertumbuhan dan perdagangan kedua-dua negara, kata Duta Besar Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona.
Mexico mempunyai sektor perindustrian dan pertanian serta minyak dan gas sama seperti Malaysia, yang boleh saling melengkapi antara satu sama lain, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat juga peluang kerjasama yang luas dalam industri halal.
“Industri halal dilihat sebagai peluang penting dan baharu kepada Mexico yang mana kami mahu terlibat,” katanya, sambil menambah negaranya juga berminat untuk belajar dan bekerja dengan syarikat Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut.
Di samping itu katanya, pengalaman Mexico sebagai antara peneraju industri aeroangkasa, kedua-dua negara boleh membina perkongsian dalam industri tersebut, ketika Malaysia berhasrat menjadi hab aeroangkasa di Asia Tenggara.
Corona berkata Malaysia akan memerlukan pekerja berkemahiran tinggi untuk industri aeroangkasa, di sinilah Mexico boleh memainkan peranan, seperti berkongsi latihan serta kepakaran jurutera dan juruteknik.
Satu lagi sektor dilihat berpotensi ialah automotif katanya, sambil menambah Mexico adalah pengeluar kenderaan keenam terbesar di dunia. – Bernama