Persatuan 4WD bantu mangsa banjir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Untuk meringankan lagi bebanan mereka yang ditimpa musibah, Persatuan Pacuan Empat Roda (4WD) Brunei telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Ungar dan Kampung Benutan, Daerah Tutong.

Operasi penyampaian sumbangan berkenaan diketuai oleh Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei, Haji Ibrahim bin Haji Awang Damit.

Menurut wakil persatuan berkenaan, sumbangan berupa barangan makanan asasi harian seperti beras, air mineral, makanan kering dan banyak lagi telah diserahkan kepada ketua kampung untuk diagihkan kepada mereka yang terlibat.

Dengan adanya usaha berkenaan, pihak persatuan menyeru orang ramai untuk turut sama memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negara ini yang memerlukan bantuan.

Antara barangan yang disumbangkan oleh Persatuan 4WD Brunei untuk mangsa banjir di Daerah Tutong.- Gambar serahan Persatuan 4WD Brunei