Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 3 Ogos – Serombongan ahli-ahli Bahagian Wanita Persatuan Foo Chow Daerah Belait seramai 10 orang telah mengadakan kunjungan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait di Jalan Maulana, di sini, hari ini.
Rombongan yang diketuai oleh ketua bahagian wanita persatuan tersebut, Agnes Hwong bersama pengerusi persatuan berkenaan, Tan Tei Tei dan ahli-ahli wanita lainnya itu dialu-alukan oleh Pengurus Pusat Ehsan Cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar serta tenaga-tenaga pengajar sukarelawan pusat tersebut.
Program lawatan ke Pusat Ehsan yang merupakan aktiviti tahunan persatuan itu antara lain bertujuan bagi membantu menceriakan para pelajar di pusat berkenaan, selain dapat berinteraksi bersama mereka dan mendapatkan maklum balas mengenai keperluan pusat dan berusaha untuk membantu.
Program lawatan hari ini diisikan dengan aktiviti seperti membuat kraf tangan dan melukis menggunakan bahan piring kertas dan gelas plastik.
Semasa lawatan tersebut, rombongan turut menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asasi pusat tersebut.

Agnes semasa ditemui menjelaskan bahawa sumbangan tersebut merupakan hasil daripada aktiviti yang mereka lakukan sebelum ini seperti tarian singa semasa Sambutan Tahun Baharu Cina, di samping daripada kutipan bayaran yuran ahli pada setiap tahun.
“Dengan adanya program lawatan ke Pusat Ehsan ini, ianya turut memberikan kesedaran kepada kalangan ahli tentang pentingnya hubungan dengan masyarakat termasuk golongan yang memerlukan dan sebagainya,” ujar Agnes.
Sementara itu, Dayang Hamimah melahirkan rasa penghargaan atas sokongan berterusan daripada pelbagai pihak seperti persatuan, badan-badan bukan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, orang-orang perseorangan dan sebagainya demi membantu memudahkan keperluan pusat berkenaan.
Menurutnya lagi, murid-murid di pusat itu semakin bertambah termasuklah murid-murid di bawah umur lima tahun yang terdiri daripada kalangan pelajar yang menghadapi masalah bertutur, selain ruang di pusat mereka yang semakin sempit.
Beliau menambah pembelajaran di pusat tersebut dibahagikan kepada dua sesi pagi bermula daripada jam 8:30 pagi hingga 12 tengah hari dan petang bagi pelajar pra-vokasional dari jam 1:30 hingga 4 petang.
“Pembelajaran satu sesi sebenarnya tidak mencukupi bagi pelajar-pelajar di pusat ini, terutama sekali kepada pelajar pra-vokasional yang sepatutnya dari pagi hingga ke petang, kerana ia meliputi pembelajaran kemahiran kehidupan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga berharap akan dapat memiliki sebuah bangunan tambahan bagi keperluan penempatan pelajarnya yang semakin ramai dan bagi keselesaan kalangan pelajar-pelajar istimewa di pusat itu.