Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persatuan, IPTA semarak Hari Kebangsaan

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 sekali gus menunjukkan semangat patriotisme, pelbagai pihak di negara ini termasuk persatuan-persatuan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah mengadakan majlis menaikkan bendera kebangsaan.

    Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong buat julung-julung kalinya ditubuhkan telah mengadakan majlis seumpamanya bagi menyemai sikap patriotisme di kalangan warga emas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di kawasan Bangunan PKWE Tutong itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.

    Di majlis berkenaan, bendera negara telah dibawa masuk oleh ahli-ahli PKWE sebelum dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan.

    Ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong bersama-sama menyemarakkan Hari Kebangsaan pada majlis menaikkan bendera negara.
    Warga UBD yang menyertai majlis menaikkan bendera bergambar ramai pada majlis yang berlangsung di bangunan Dewan Canselor UBD.
    Anggota Platun Kadet Tentera UBD menyempurnakan acara menaikkan bendera.

    Universiti Brunei Darussalam (UBD) pula telah mengadakan majlis berkenaan di hadapan bangunan Dewan Canselor dan telah dihadiri oleh Naib Canselor, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz selaku tetamu kehormat. Hadir sama ialah pegawai-pegawai utama, kakitangan dan pelajar-pelajar UBD.

    Pembawa bendera ke majlis berkenaan terdiri daripada Platun Kadet Tentera UBD.

    UBD dalam kenyataannya menjelaskan, acara tahunan berkenaan diungkayahkan oleh Hal Ehwal Pelajar dengan tujuan untuk menanamkan rasa kecintaan terhadap tanah air dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UBD.

    Selain itu, ia juga bertujuan bagi mendukung hasrat murni dan wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pembangunan dan kesejahteraan negara, sebagaimana yang dipegang dalam Wawasan Brunei 2035 serta selaras dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

    Warga UNISSA turut mempamerkan patriotisme pada acara menaikkan bendera di universiti tersebut.

    Turut mengadakan majlis penuh patriotik itu adalah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Rektor, Dr. Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, penolong rektor, pegawai-pegawai utama, para dekan dan timbalan-timbalan dekan, pegawai-pegawai dan kakitangan UNISSA, para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Menurut kenyataan yang diberikan, majlis yang diadakan itu adalah sebagai manifestasi terhadap kecintaan kepada negara kerana bendera adalah lambang rasmi dan simbol identiti bangsa dan negara. Bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berkibar itu menuntut agar setiap bangsa sentiasa hidup bertanggungjawab, berbakti, berjasa kepada agama dan negara.

    Gambar ramai kadet tentera dan warga UTB pada majlis menaikkan bendera di universiti tersebut.

    Sebuah lagi institusi pengajian tinggi yang mengadakan majlis serupa hari ini ialah Universiti Teknologi Brunei dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah para pegawai utama, pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UTB.

    Upacara menaikkan bendera di majlis berkenaan telah dilakukan oleh perwakilan Kadet Tentera UTB sambil diiringi nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda