Oleh Hjh Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 18 Julai – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun, Persatuan Malayali (MA) telah menganjurkan Kempen Kebersihan Pantai dan Tanaman Pokok dengan sokongan Misi Tingkatkan Kehijauan, Jabatan Perhutanan Brunei yang diadakan di Pantai Belait, di sini.
Kempen yang disertai oleh kira-kira 200 orang sukarelawan daripada masyarakat Malayali itu antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.
Hadir merasmikan kempen berkenaan ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, yang turut merakamkan penghargaan atas usaha Persatuan MA dalam melaksanakan kempen berkenaan dan beliau turut menyeru supaya langkah seperti itu akan dapat dilakukan sama oleh masyarakat lainnya bagi sama-sama memberikan sokongan kepada hasrat kerajaan yang mementingkan kebersihan dan penjagaan alam persekitaran secara berterusan.
Terdahulu, Presiden MA, Anilkumar T.V yang turut sama menyertai kempen tersebut telah merakamkan penghargaan kepada semua yang melibatkan diri selain menyatakan akan kepentingan penanaman pokok bagi ekologi serta beliau turut menekankan kebersihan kawasan pantai juga perlu selalu diambil kira untuk menghindari pencemaran.
“Penanaman pokok kali ini merupakan fasa kedua, dianjurkan oleh Persatuan MA yang mana pada peringkat awalnya telah diadakan pada bulan April lalu, dengan penanaman sejumlah 250 pokok di kawasan Labi,” katanya.
Majlis dimulakan dengan acara penyerahan sejumlah 200 anak pokok daripada Jabatan Perhutanan kepada Persatuan MA dan kerja-kerja menanam telah dilakukan bersama oleh semua sukarelawan kempen termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.
Sepanjang kempen tersebut, lebih 70 bungkusan sampah telah dikumpulkan di kawasan pantai berkenaan dan kesemuanya kemudian dibuang ke dalam tong besar yang telah disediakan oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Turut menyertai kempen tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Heart of Borneo, Haji Safwan Abdullah dan juga wakil-wakil dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan lainnya.