Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Sebagai usaha untuk menyediakan persekitaran sekolah yang bersih dan ceria serta kondusif bagi pelajar untuk menimba ilmu, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas (SR OKBI), Subok, Kluster 4 dengan kerjasama warga Majlis Perundingan Kampung Subok dan Majlis Perundingan Kampung Belimbing serta Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing, baru-baru ini, telah mengadakan kempen kebersihan membersihkan kawasan Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok.
Hadir semasa acara berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku Penasihat Bersama PIBG sekolah berkenaan dan Penghulu Mukim Kota Batu, , Ketua Kampung Belimbing, Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim dan Ketua Kampung Subok, Haji Jais bin Haji Mohd Salleh.
Juga hadir menyertai kempen itu ialah Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, Awang Adnan bin Matdon, Pengerusi Bersama PIBG, Hajah Bibyzuraini binti Haji Awang Bugar, Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Sarimah binti Haji Mina, guru-guru dan kakitangan sekolah serta lebih 100 orang penduduk dari Kampung Subok dan Kampung Belimbing.
Kempen yang dijalankan buat kali kedua itu dihasratkan dapat menceriakan lagi kawasan sekolah serta menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif bagi para murid sekolah berkenaan.

Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk sikap kekitaan dan kerjasama dalam menjaga kebersihan sekolah bersama pihak sekolah dan warga kampung yang terdiri daripada penduduk Kampung Subok dan Kampung Belimbing serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing.
Kerja-kerja pembersihan yang telah dijalankan di kawasan sekolah ini adalah seperti pemotongan rumput, membuang kayu-kayu, membersihkan longkang, padang sekolah dan kawasan-kawasan persekitarannya.
Menerusi usaha itu, ia juga akan memberikan keselesaan kepada murid-murid dan warga sekolah untuk merasa senang dan selamat menjalani aktiviti harian di samping dapat memudahkan dalam membuat pemantauan keselamatan di kawasan persekitaran sekolah.