Persatuan ZEQWA ditubuhkan

KOTA KINABALU, 16 Dis – Persatuan Ziarah Qaseh Wanita Sabah (ZEQWA) ditubuhkan untuk menjadi mata dan telinga kerajaan, selain membantu menghubungkan rakyat dengan pelbagai agensi kerajaan di Sabah. Penaungnya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata ia juga bertujuan membantu golongan suri rumah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui bimbingan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan di samping membantu menghubungkan masyarakat khususnya penduduk kampung kepada agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani pelbagai masalah.

“Setiap kampung akan mempunyai ahli dalam persatuan ini dan merekalah yang akan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang masalah yang dihadapi penduduk di kampung masing-masing,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada pemberita selepas melancarkan persatuan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi ZEQWA Noorlizawana Jailin berkata persatuan itu telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 27 September lepas dan Kota Belud merupakan perintis untuk persatuan itu melaksanakan pelbagai aktiviti, sebelum ia diperluaskan di seluruh Sabah. – Bernama

Isnaraissah Munirah Majilis menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta yang menjadi ahli Persatuan Ziarah Qaseh Wanita Sabah selepas pelancaran Karnival dan Pelancaran Persatuan Ziarah Qaseh Wanita Sabah di Dataran Kota Belud kelmarin. – Bernama