BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Sebagai permulaan untuk menyediakan draf resolusi bagi Kongres Belia Kebangsaan yang akan diadakan pada 16 dan 17 Jun ini, Majlis Belia Brunei, telah mengungkayahkan bengkel persediaan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini.
Bengkel yang menghimpunkan lebih 100 orang belia dan pemimpin belia daripada pelbagai sektor, organisasi, persatuan dan pertubuhan di negara ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Belia Brunei, Awang Mohd Aidil Firdaus bin Haji Jukin.
Menurut kenyataan, antara tujuan Bengkel Persediaan: Kongres Belia Kebangsaan itu adalah sebagai platform perbincangan awal bagi penyediaan draf resolusi yang mengandungi pelan tindakan strategik utama dalam menangani isu-isu semasa yang melanda para belia di samping untuk mendukung kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Pada bengkel tersebut, tiga tema utama menjadi fokus perbincangan pada pagi itu iaitu Keusahawanan dan Pengangguran, Belia Sedia Masa Hadapan dan Penglibatan Belia dan hasil daripada perbincangan itu akan dilaratkan menjadi sebuah draf resolusi bagi program kemuncak nanti.
Sebelum bergerak ke kelompok tema masing-masing, para peserta bengkel turut mendengar taklimat bertajuk Main Findings from Environment Scan of Brunei Youth daripada wakil Pusat Pengajian Strategi dan Dasar (CSPS), Dr. Diana Cheong.
Hadir pada sebelah petang bagi mendengarkan pembentangan hasil perbincangan bengkel tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.