Persediaan bagi Majlis Pelancaran ‘Mukim Buku’

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 15 Jan – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut I dan II, hari ini, telah mengadakan kempen membersihkan kawasan persekitaran Bangunan Pejabat Pos Mukim Liang.

Hadir sama menyertai kempen tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Daerah Belait, yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid memberitahu Media Permata, kempen tersebut merupakan satu persediaan bagi mengadakan Majlis Pelancaran ‘Mukim Buku’ yang akan diadakan di mukim tersebut awal bulan depan.

Menurutnya, kempen kebersihan yang termasuk kerja-kerja memotong rumput, mengutip sampah dan sebagainya adalah bagi persediaan menempatkan acara jualan bazar bersempena dengan majlis pelancaran itu nanti.

Antara yang terlibat dalam kempen berkenaan.
Antara yang terlibat dalam kempen berkenaan.

Beliau juga menjelaskan, Mukim Buku atau perpustakaan bagi kegunaan penduduk di mukim tersebut akan ditempatkan di Tingkat Satu, Bangunan Pejabat Pos Mukim Liang, bermula selepas majlis pelancaran itu nanti yang dijangka berlangsung pada 4 Februari.

“Jualan bazar di persekitaran kawasan Bangunan Pejabat Pos itu nanti adalah sebagai sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan khususnya di mukim ini dan juga bagi menceriakan lagi suasana majlis pada hari itu,” katanya.

Mukim Buku merupakan cadangan yang sudah lama dirancang dan pada awal Februari nanti akan menjadi kenyataan, di mana penduduk mukim tersebut akan mempunyai sebuah perpustakaan yang akan menempatkan berbagai bahan bagi membantu mereka menambah ilmu pengetahuan dan sebagainya.

“Tempat yang telah dipersetujui bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah menggunakan kawasan tingkat satu Bangunan Pejabat Pos Mukim Liang dan dengan adanya penempatan perpustakaan itu nanti dihasratkan akan dapat dimanfaatkan oleh penduduk mukim, sebagai tempat menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi minat membaca di kalangan penduduk di sini terutama sekali kepada kalangan kanak-kanak dan belia-belia dan juga orang-orang dewasa” kata Yang Berhormat Haji Abdul Hamid.

Beliau juga menyatakan harapan supaya majlis pelancaran itu nanti akan mendapat sokongan ramai kalangan penduduk mukim dengan datang beramai-ramai, seterusnya bersama-sama memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan yang menyertai jualan bazar dan juga meluangkan masa berkunjung ke Mukim Buku (perpustakaan) di mukim itu nanti.