Persediaan Maal Hijrah lancar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan menyambut ketibaan Awal Tahun 1442 Hijrah pada 19 Ogos ini di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran acara itu nanti, raptai penuh Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong telah diadakan pagi hari ini.

Hadir bagi menyaksikan raptai penuh tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Antara pengisian majlis itu nanti ialah bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun.

Dengan tema Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat, berbagai-bagai acara sampingan akan diadakan bagi menyemarakkan Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah tersebut, antaranya Forum Khas sempena Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah.

Forum khas itu nanti akan diadakan pada 20 Ogos depan dan akan disiarkan secara langsung dari Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei pada pukul 10:30 pagi melalui saluran RTB Perdana, RTB Sukmaindera, RTB Golive, Rangkaian Nasional FM dan Rangkaian Nur Islam.

Forum tersebut akan membincangkan tajuk Pengukuhan Maqasid Syariah dalam Pemerintahan Negara dan Kepimpinan Ulul Amri dengan dipengerusikan oleh ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Manakala itu, ahli-ahli panel terdiri daripada Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusuf; dan Profesor Adjung , Universiti Brunei Darussalam, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa meninjau raptai majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Gambar serahan KHEU