Persediaan menjelang Ramadan

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Sebagai persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan, pelbagai pihak di negara ini menjalankan kempen-kempen kebersihan di tanah perkuburan orang-orang Islam.

Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Dato Imam Haji Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer adalah antara yang tidak ketinggalan mengadakan aktiviti seumpamanya, baru-baru ini.

Kempen membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Datuk Ahmad, Kampung Buang Tekurok, Mukim Lumapas itu turut disertai oleh para belia dan penduduk kampung yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. ​

Aktiviti tahunan itu diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim bagi menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan dan berkebajikan bagi melaksanakan sumbangan tenaga dan amal jariah yang bermanfaat.

Majlis diakhiri dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang diketuai oleh imam masjid berkenaan, Awang Salleh bin Haji Abdul Rahman.

Sementara itu, di Daerah Belait, Pusat Kegiatan Warga Emas (PWKE) Daerah Belait mengendalikan kempen kebersihan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Kuala Belait, baru-baru ini.

Kempen diketuai oleh Pengerusi PWKE Daerah Belait, Awang K Salim bin Abdul Karim dan turut disertai oleh 12 orang ahli PWKE.

Selain membersihkan tanah perkuburan, mereka turut mengadakan majlis tahlil bagi memperingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengetuai kempen membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Datuk Ahmad, baru-baru ini.
Antara ahli-ahli PWKE Daerah Belait yang menyertai kempen kebersihan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong.