Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – COVID-19 tetap akan mencapai fasa endemik dalam apa jua cara sekalipun, walau bagaimanapun, penularan jangkitan COVID-19 semasa fasa pandemik akan dapat ditangani dengan melindungi masyarakat menerusi vaksinasi yang lengkap.
“Fasa endemik yang dimaksudkan adalah penularan jangkitan COVID-19 yang berada di tahap yang rendah dalam kalangan penduduk,” kata Konsultan Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong semasa temu bual mengenai keendemikan di Brunei Darussalam yang diadakan baru-baru ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Turut hadir semasa sesi temu bual tersebut ialah Pegawai Perubatan Kanan di Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Mohammad Fathi bin Dato Paduka Haji Alikhan.
Setelah Negara Brunei Darussalam mencapai lebih 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin COVID-19, penduduknya akan beralih dari fasa peralihan ke fasa endemik.
Meskipun beliau berpendapat penularan jangkitan COVID-19 masih akan berlaku semasa endemik nanti, tetapi gejala teruk dan risiko kematian cuma akan berkurangan dan individu yang dijangkiti hanya akan mengalami gejala ringan sahaja.

Menurut Dr Justin Wong, terdapat dua cara bagi menghentikan pandemik iaitu dengan menyingkirkan penyakit berkenaan di mana kes jangkitan berjaya mencapai sifar, atau mengawalnya ke tahap yang rendah di samping dapat melindungi penduduk menerusi program vaksinasi.
Namun, kebanyakan saintis menyedari kita mungkin tidak akan dapat menyingkirkan COVID-19 sepenuhnya memandangkan ia merebak dengan mudah.
Menyentuh mengenai sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada masa ini seperti Operasi Pulih, beliau menjelaskan ia hanya bertujuan bagi memberi masa untuk membolehkan orang ramai mendapatkan vaksinasi.
“Ia tidak mampan untuk dilaksanakan bagi jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, tahap penularan COVID-19 semasa peringkat endemik nanti masih belum diketahui,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan dan keselamatan kekal dilaksanakan nanti semasa fasa endemik.
Menurutnya, pihak mereka akan cuba mengawal penularan ke tahap yang rendah dan melindungi penduduk menerusi program vaksinasi dan dos penggalak bagi meningkatkan imuniti dalam kalangan masyarakat.
“Dos penggalak diperlukan kerana data yang diperoleh pada masa ini menunjukkan imuniti akan menurun selepas enam bulan individu menerima dos kedua vaksin,” katanya.
Selain itu, terdapat golongan yang telah menerima dos penggalak, iaitu petugas-petugas barisan hadapan.
Dengan beberapa golongan iaitu petugas barisan hadapan dan pesakit kurang daya tahan imun dari tahap sederhana dan teruk sudah pun menerima dos penggalak, beliau berharap program dos penggalak yang lebih meluas seterusnya akan dapat dilaksanakan pada penghujung tahun ini bagi para petugas barisan hadapan yang lain, individu berusia 50 tahun ke atas serta mereka yang mengalami penyakit kronik.
Ditanya sama ada dos penggalak diberikan setiap tahun atau tidak, beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan masih menilainya berdasarkan bukti saintifik, selain membuat kajian sendiri mengenai dos penggalak dan reaksi imun dalam kalangan penduduk.
Kementerian, katanya, juga bekerjasama dengan beberapa institusi bagi menjalankan kajian mengenai reaksi imun dan penyerapan antibodi daripada jenama vaksin yang berbeza yang digunakan di negara ini termasuk Sinopharm, Moderna dan AstraZeneca.
Hasil daripada beberapa kajian menunjukkan mereka yang telah menerima vaksin jenis mRNA dan AstraZeneca turut mengalami penurunan imuniti terutama kalangan warga emas.
Ketika berbicara mengenai langkah-langkah yang akan diadaptasi semasa menjalani kehidupan fasa endemik, beliau menekankan langkah keselamatan dan pencegahan seperti penggunaan pelitup muka dalam bangunan, mengimbas kod QR menerusi aplikasi BruHealth, tidak keluar rumah atau pergi bekerja bagi mereka yang mengalami gejala serta melalukan ujian pantas antigen (ART) akan terus dipraktikkan dalam kehidupan norma baharu.
Katanya lagi, langkah-langkah tersebut tidak akan terlalu menjejaskan kehidupan mahupun ekonomi, namun ianya masih dapat mengawal penularan ke tahap yang rendah dan melindungi golongan yang tidak dibenarkan mengambil vaksin.
Menyentuh mengenai kemungkinan kemunculan varian-varian baharu COVID-19 semasa fasa endemik nanti, beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan akan terus berwaspada dan menumpukan perhatian terhadap perkembangan penyebaran virus tersebut.