Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Masalah sosial seperti penyalahgunaan internet, kasar kepada ibu bapa, merokok, lari dari rumah banyak berlaku dalam kalangan remaja masa kini sehingga memberikan impak yang signifikan terhadap kesejahteraan keluarga.
Pegawai Ugama di Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Dayang Nur Ayuni binti Suhili mengongsikan masalah sosial yang boleh mencetuskan konflik keluarga itu berpunca daripada kurangnya pendidikan dan pengamalan ajaran agama Islam serta kurangnya komunikasi berkesan dalam keluarga.
Oleh itu, kukuhnya sesebuah keluarga bermula daripada pemilihan jodoh dan seterusnya persediaan pasangan dari segi ilmu, psikologi, fizikal dan ekonomi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, ujarnya semasa menyampaikan taklimat bertajuk ‘Keluargaku Harapanku’ di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.
Taklimat anjuran Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Ugama dengan Kerjasama Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPU SB itu bermatlamat untuk memberi kefahaman mengenai kepentingan institusi keluarga.
Pada sesi taklimat itu, Dayang Nur Ayuni menjelaskan bahawa setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Ini terutama bagi ibu bapa mempunyai harapan terhadap anak-anak mereka untuk membesar menjadi anak-anak yang soleh dan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta berjaya dalam kehidupan.
Tanggungjawab anak kepada ibu bapa termasuk sentiasa berbuat baik kepada keluarga, mendoakan dan mendapatkan keredaan ibu bapa.
Beliau juga menjelaskan, antara asas pembentukan keluarga termasuk menanamkan niat yang betul dalam membina keluarga yang diredai Allah SWT, mengajak keluarga ke arah pengamalan segala suruhan Allah dan membentuk komunikasi yang efektif (Al-Mu’asyarah Bil Ma’ruf) antara ahli keluarga serta kasih sayang dalam berkeluarga.
Sementara itu, Pegawai Kanan Khidmat Nasihat Rumah tangga, Dayang Siti Nur Juhaidah binti Haji Awang Julidy, pula menjelaskan daripada konteks kaunseling, setiap ahli dalam keluarga saling mempengaruhi antara satu sama lain sehingga terbentuk suatu kesan terhadap keluarga tersebut.
Di samping itu, perubahan yang berlaku kepada salah satu daripada komponen atau sebahagian dalam sistem keluarga akan mengganggu keseimbangan sistem secara menyeluruh.
Sehubungan itu, perlunya ada komunikasi antara suami isteri dan keluarga bagi memastikan setiap isu dan permasalahan yang timbul boleh dibincangkan secara berkesan.
Dalam proses kaunseling keluarga pula, terdapat empat peringkat yang menjadi asas iaitu pertama mengenal pasti perhubungan yang terjalin, menganalisis isu dan permasalahan, menerokai solusi menggunakan kaedah celik akal dan melaksanakan pendidikan semula.
Selain itu antara teknik-teknik kaunseling yang digunakan termasuk terapi kemanusiaan, kesenian, zikir dan sebagainya.