Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Persediaan pekebun hadapi cuaca paling dingin

    PARIS – Pekebun buah-buahan Perancis terjejas oleh cuaca paling sejuk pada bulan April sejak tahun 1947 semalaman pada Ahad dan awal Isnin, tahun kedua berturut-turut di mana mereka telah mengalami cuaca musim bunga melampau.

    Pekebun membakar lilin, menyembur air dan menggunakan turbin angin dalam usaha untuk melindungi tanaman mereka ketika suhu menurun di bawah takat beku, dengan rekod negatif 9.3 darjah Celsius di Mourmelon di kawasan Marne timur Paris.

    Pakar berkata peristiwa cuaca melampau telah menjadi fenomena lazim disebabkan perubahan iklim.

    Suhu naik pada Isnin, menurut peramal cuaca Perancis Meteo Patrick Galois, tetapi dia mengingatkan cuaca amat dingin masih akan berlaku di antara barat daya dan tengah Perancis.

    Pekebun berasa amat bimbang dengan keadaan yang bakal berlaku.

    Perdana Menteri Perancis Jean Castex (tengah) mendengar kepada pekebun Jerome Capel di ladangnya yang terjejas akibat fros di Cazes-Mondenard, barat daya Perancis. – AFP
    Kelihatan kelopak bunga plum di sebuah ladang terjejas akibat fros di Cazes-Mondenard. – AFP
    Gambar menunjukkan kudup bunga di pokok epal ditutup dalam ais selepas disembur air untuk melindungi mereka daripada suhu dingin di sebuah kebun di Mantauban, selatan Perancis. – AFP
    Pokok epal disembur dengan air untuk melindungi mereka daripada suhu sejuk di sebuah lading di Montauban, Perancis. – AFP

    “Ia amat teruk, ia terjejas teruk semalaman. Ramai pekebun buah terjejas,” beritahu Christiane Lambert, presiden kesatuan pekebun FNSEA, kepada AFP.

    Kementerian pertanian berkata ‘masih terlalu awal’ untuk membuat kesimpulan mengenai kerosakan yang dialami.

    “Kerosakan hanya dapat dilihat selepas beberapa hari,” katanya.

    Pokok buah adalah pokok yang paling mudah terjejas berbanding ladang anggur pada tahun ini, menurut kementerian.

    Di kawasan Tarn-et-Garonne di barat daya, Damien Garrigues menyembur pokok-pokok epalnya untuk menutup kudup bunga dalam ais dalam usaha melindunginya daripada suhu lebih rendah.

    “Untuk sekarang, ia tidak seteruk berbanding tahun lalu,” katanya, menambah dia kehilangan 20 peratus daripada hasil keluaran pada 2021.

    Di Agen di kawasan Lot-et-Garonne, ‘kerugian besar’ dijangka dialami oleh pekebun buah plum tetapi tidak seteruk tahun lalu, apabila ‘100 peratus buah’ dirosakkan oleh jerempak dingin, kata Remy Muller, penasihat di dewan pertanian kawasan tersebut.

    Sebuah turbin angin digunakan di ladang anggur Eric Chadourne di Bergerac, juga di kawasan barat daya, dalam usaha mengurangkan kerosakan yang dialami.

    Namun di tempat lain, ‘semua kudup bunga anggur putih dan malbec telah menjadi beku,’ kata Chadourne.

    Jerempak dingin pada April tahun lalu mengurangkan hasil tanaman buah aprikot, ceri dan pear sebanyak separuh berbanding tahun sebelumnya, menurut statistik rasmi.

    Perdana Menteri Jean Castex berkata wang daripada dana kecemasan mungkin dikeluarkan sekiranya perlu untuk membantu pengeluar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...