Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Persediaan sambung semula aktiviti rentas sempadan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Bermula 1 Ogos, aktiviti rentas sempadan darat dan laut akan disambung semula berdasarkan pengemaskinian sukat-sukat bagi pemulihan lanjut aktiviti rentas sempadan yang diumumkan baru-baru ini.

    Sehubungan dengan itu, pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah membuat persediaan dari segi dokumentasi, sistem teknologi dan tenaga manusia untuk menghadapi pelaksanaan pembukaan pos-pos kawalan negara nanti.

    Semua persediaan ini dilakukan adalah untuk memastikan urusan keluar masuk pelawat dari atau ke Negara Brunei Darussalam berjalan dengan lancar.

    JIPK telah pun melaksanakan penaiktarafan sistem kawalan sempadan yang baharu pada Mac lalu dan proses uji cuba telah dibuat untuk memastikan sistem berkenaan berjalan dengan baik dan lancar.

    Di samping itu, JIPK telah mengaturkan jadual para petugas di setiap pos-pos kawalan keluar masuk melalui darat, laut dan udara dalam tempoh masa waktu beroperasi pos-pos kawalan berkenaan bagi memastikan urusan keluar masuk berjalan dengan lancar.

    Pegawai JIPK dan JKED membuat persediaan bagi penyambungan semula aktiviti rentas sempadan yang akan bermula 1 Ogos ini. – Gambar oleh Daniel Lim
    Kenderaan beratur di pos kawalan Labu semasa tinjauan media menjelang pembukaan pos kawalan darat yang diharapkan berjalan lancar.

    Sementara itu, JKED akan memantau pergerakan kenderaan, orang dan barang-barang yang dibawa melalui pos-pos kawalan darat dengan bantuan kerjasama daripada JIPK, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkenaan.

    Bagi membantu orang ramai yang belum berkemahiran untuk membuat pendaftaran permohonan dan pembayaran caj perkhidmatan (CaP), sebanyak $3 setiap seorang bagi satu hala perjalanan. JKED juga telah menyediakan kiosk Exit and Entry System (EES) di setiap pos-pos kawalan dan pegawai-pegawai JKED boleh memberikan bantuan jika diperlukan.

    Selain daripada itu, orang ramai yang memerlukan bantuan khusus ke atas penggunaan EES, dialu-alukan untuk hadir ke Kaunter Unit Perkhidmatan Pelanggan di Ibu Pejabat, JKED di Jalan Menteri Besar, ketika waktu pejabat beroperasi iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga 3:30 petang.

    Menyentuh mengenai waktu operasi bagi pos-pos kawalan, JIPK menyatakan bahawa waktu beroperasi bagi pos-pos kawalan darat dan laut adalah bermula pada pukul 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

    Manakala itu, bagi Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), waktu operasi pos-pos kawalan JPD iaitu pos kawalan Kuala Lurah dan Sungai Tujoh dari pukul 6 pagi hingga 6 petang dengan waktu terakhir masuk bagi kenderaan komersial luar negeri ialah pukul 3 petang.

    Waktu operasi pos-pos kawalan JPD di Labu dan Ujung Jalan adalah dari pukul 6 pagi hingga 6 petang dengan waktu terakhir masuk bagi kenderaan komersial luar negeri ialah pukul 4 petang.

    Bagi pejalan kaki dan penumpang bas, JIPK menyatakan bahawa mereka diperlukan untuk melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen di terminal bas di pos kawalan yang ditetapkan. Penumpang-penumpang bas dikehendaki untuk turun bagi proses pemeriksaan imigresen.

    Menurut JKED, setiap individu termasuk pejalan kaki adalah dikehendaki untuk mendapatkan pas kod QR EES yang mengesahkan pembayaran CaP telah pun dijelaskan, sebelum tiba di pos kawalan.

    Manakala bagi penumpang bas pula, ia adalah menjadi tanggungjawab pengendali dan pemandu bas berkenaan untuk mendaftarkan dan memastikan semua penumpang yang ikut serta di dalam bas telah pun membuat pembayaran CaP.

    Sementara itu, JPD hanya mengawal pengeluaran permit bagi kenderaan bas yang hendak keluar dan masuk Negara Brunei Darussalam.

    Mana-mana bas yang mempunyai permit yang sah saja dibolehkan untuk keluar dan masuk Negara Brunei Darussalam.

    Operator bas yang memasuki Negara Brunei Darussalam hendaklah melapor ke Pos Kawalan JPD.

    Manakala itu, Port Health, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa orang ramai adalah dikehendaki untuk memenuhi syarat vaksinasi dan menyediakan dokumen-dokumen yang sah seperti vaksinasi rekod dan bagi individu-individu yang dipersyaratkan untuk mendapatkan insurans, me-reka diperlukan untuk mempunyai sijil insurans perubatan perjalanan yang meliputi perlindungan COVID-19 dengan perlindungan minimum insurans sebanyak $20,000, semasa membuat perjalanan masuk dan keluar Negara Brunei Darussalam.

    Bagi maklumat lanjut mengenai barang-barang bercukai dan yang memerlukan permit atau kebenaran daripada agensi yang berkaitan, orang ramai bolehlah melayari laman-laman sesawang JKED iaitu https://bdnsw.mofe.gov.bn dan https://tradingacrossborders.mofe.gov.bn atau laman sesawang Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam di www.mofe.gov.bn dan melalui media sosial iaitu akaun Instagram Mofebrunei dan akaun Facebook.

    Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Unit Perkhidmatan Pelanggan di talian 2382361 atau 8323741, atau melalui emel info@customs.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...