Persekolahan peringkat kedua bermula

Oleh Salawati Haji Yahya & Ak Zaki Kasharan
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Kesemua pelajar peringkat prasekolah hingga Tahun 5 bagi semua sekolah rendah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, sekolah swasta serta sekolah-sekolah agama termasuklah pelajar-pelajar Tahun 5 di kelima-lima buah sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini mula kembali ke sekolah bagi sesi persekolahan peringkat kedua.

Sesi persekolahan tersebut yang melibatkan seramai 27,744 pelajar dari Darjah Pra hingga Darjah 5 di persekolahan agama dan 779 orang pelajar Tahun 5 di persekolahan Arab di lima buah sekolah Arab di seluruh negara adalah susulan pengumuman pelonggaran penjarakan sosial bagi sekolah-sekolah oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 16 Jun yang lalu.

Semasa tinjauan wartawan Media Permata ke beberapa buah sekolah di negara ini mendapati bahawa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran fasa kedua ini dikekalkan kaedahnya menggunakan modaliti yang telah digariskan oleh kementerian masing-masing.

Di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, sesi pembelajaran berjalan dengan lancar, di mana sekolah berkenaan menggunakan modal ketiga dengan pelajar akan mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah selama tiga hari dan selebihnya menggunakan kaedah pembelajaran di rumah.

Pada peringkat pertama, secara purata para pelajar di sekolah-sekolah agama dan Arab, pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran hanya dibuka untuk pelajar pada 2 hingga 15 Jun.

Antara pelajar yang memulakan sesi persekolahan peringkat kedua mereka, kelmarin.
Dayang Mardiah ketika ditemu bual semasa tinjauan media di Sekolah Rendah Anggerek Desa, kelmarin.
Suasana salah sebuah bilik darjah di Sekolah Seri Mulia Sarjana pada hari pertama persekolahan peringkat kedua bermula, kelmarin.
Setiap pelajar dimestikan memeriksa suhu badan sebelum memasuki bilik darjah masing-masing di Sekolah Rendah Anggerek Desa.
Setiap pelajar dimestikan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di sekolah.
Setiap pelajar mesti mengamalkan penjarakan sosial semasa pembelajaran dalam bilik darjah.
Suasana bilik darjah di salah sebuah kelas tadika di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Setiap pelajar mesti mematuhi panduan laluan bagi memasuki kelas masing-masing di Sekolah Rendah Anggerek Desa.
Tempat yang disediakan Sekolah Seri Mulia Sarjana bagi para pelajar menunggu ibu bapa dan penjaga mereka selepas waktu persekolahan berakhir.
Setiap pelajar akan diperiksa suhu badan mereka sebelum memasuki bilik darjah masing-masing di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Notis peringatan juga disediakan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

Sesi pengajaran dan pembelajaran mengguna pakai gabungan kaedah secara bersemuka, tapi pelajar-pelajar dinasihatkan supaya menekankan dua aspek penting iaitu mengamalkan penjarakan sosial dan keber-sihan diri serta premis sekolah.

Ini adalah bagi memastikan kesejahte-raan pelajar-pelajar dan warga sekolah adalah terjamin. Sementara guru-guru dan kakitangan sekolah juga diarahkan untuk memantau keadaan pelajar-pelajar dan kebersihan tempat seperti bilik darjah, tandas dan sekitar sekolah setiap masa.

Sementara itu, di sekolah berasingan, pihak media berkesempatan meninjau Sekolah Rendah Anggerek Desa untuk melihat sendiri suasana peringkat kedua sesi persekolahan di sekolah tersebut.

Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Dayang Mardiah binti Wahab yang juga guru besar sekolah berkenaan ketika ditemui menjelaskan, semasa sesi persekolahan peringkat kedua ini, sekolah tersebut telah memilih untuk menggunakan model satu, di mana murid hanya mengikuti pembelajaran seperti biasa selama dua hari.

Manakala selebihnya murid-murid berkenaan akan menjalani pembelajaran mereka secara Home Based Learning di rumah yang mana mereka akan diberikan Home Pack Learning (HPL).

Beliau seterusnya menjelaskan, peringkat pertama yang bermula pada 2 Jun lalu telah berjaya dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada murid Tahun 6 sahaja, di mana murid-murid tersebut dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Ini diikuti dengan fasa kedua yang bermula hari ini, di mana jelasnya, tumpuan diberikan kepada murid Tahun 4 dan 5 dengan kera-maian murid hampir 80 orang.

“Bagi Tahun 4, murid-murid hanya datang ke sekolah pada hari Rabu dan Khamis sahaja, manakala Tahun 5 hanya bersekolah pada Isnin dan Selasa. Pembahagian hari ini adalah untuk mengelakkan keramaian murid-murid yang datang di samping mengelakkan kesesakan semasa datang dan waktu balik sekolah, tambahnya.

“Pihak sekolah turut mengubah jadual pembelajaran yang mana lebih menumpukan kepada mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan juga Ugama, manakala selebihnya akan menggunakan HPL,” katanya.

Dayang Mardiah seterusnya turut menyarankan kepada ibu bapa untuk membekal-kan anak-anak mereka dengan pensanitasi tangan, tisu basah dan juga penutup mulut dan hidung apabila datang ke sekolah.

Di samping itu, pihak sekolah turut menyediakan penutup mulut dan hidung untuk diberikan kepada murid-murid yang tidak mempunyainya.

Ke arah memastikan keselamatan murid-murid dan warga sekolah, pihak sekolah telah menyediakan beberapa langkah mengawal penularan wabak berkenaan dengan membuat pemeriksaan suhu badan dan kod imbasan untuk warga sekolah dan pengunjung sekolah.

Semasa berada di sekolah, jelasnya, murid-murid tidak digalakkan untuk berkeliaran di luar bilik darjah kecuali untuk ke kantin dengan pengawasan guru. Sehubungan itu, ibu bapa juga dinasihatkan untuk membekalkan makanan dan minuman untuk anak-anak mereka.

Beliau seterusnya menjelaskan mengenai murid yang tidak dapat hadir ke sekolah atas alasan tertentu seperti kurang sihat, batuk dan selesema, murid-murid berkenaan akan diberikan HPL untuk memastikan mereka mendapat pembelajaran secara berterusan.

Bagi guru-guru yang tidak dapat hadir sekolah disebabkan kurang sihat pula, guru pengganti iaitu guru yang mengajar dalam mata pelajaran dan tahun yang sama akan mengambil alih kelas berkenaan.

Di Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS) Bandar Seri Begawan pula, pihak media dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan hanya membukakan sesi persekolahan selama sehari sahaja dalam seminggu bagi murid tadika (KG 3).

Waktu persekolahan juga turut dipendekkan dari 8 hingga 10:45 pagi bagi sesi pagi dan 1:30 hingga 4:30 petang bagi sesi di sebelah petang.

Manakala itu, bagi pelajar rendah bawah di sekolah berkenaan juga akan hadir sekali seminggu berbanding dengan pelajar rendah atas yang akan hadir ke sekolah dua kali seminggu dengan waktu persekolahan turut dipendekkan.

Timbalan Pengetua Tadika CHMS, Sim Man Ling turut mengongsikan bahawa sesi pembelajaran di sekolah berkenaan dipen-dekkan dan hanya menumpukan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran akademik sahaja, manakala bagi mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani (PE), Nyanyian dan seumpamanya adalah ditangguhkan buat masa ini.

Sementara itu, Pengetua CHMS, Bandar Seri Begawan, Kho Guik Lan turut menasihatkan kepada para ibu bapa dan penjaga murid-murid supaya yakin dan percaya kepada pihak sekolah dan tidak ragu untuk menghantar anak-anak mereka pada hari-hari yang telah ditetapkan kerana jelasnya pihak sekolah sentiasa mengikuti segala garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan penularan wabak dibendung.

Tinjauan wartawan juga mendapati beberapa buah sekolah turut membuat inisiatif bagi memastikan para murid yang datang atau pulang dari sekolah turut tetap mengamalkan penjarakan sosial serta tidak berkumpul di satu tempat yang sama dan sempit pada satu jangka masa yang sama.

Di Sekolah Seri Mulia Sarjana, penyediaan tempat menunggu dan hadir di sekolah tersebut antara yang menarik perhatian pihak media ketika membuat tinjauan di sekolah tersebut pagi tadi.

Penyediaan tempat menunggu dengan penjarakan fizikal dan pengasingan tempat mengambil murid mengikut peringkat setidaknya akan membantu memudahkan penjarakan sosial diaplikasikan dalam kala-ngan pelajar di sekolah tersebut.

Sementara itu ibu bapa dan penjaga pelajar sama ada ketika ingin menghantar atau mengambil anak-anak mereka di sekolah tersebut juga turut dibataskan.

Manakala itu, bagi para pengunjung yang ingin membuat sebarang urusan di sekolah berkenaan perlulah membuat pemeriksaan suhu badan dan seterusnya mengimbas aplikasi BruHealth mereka sebelum dan selepas keluar dari bangunan sekolah tersebut.