Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Persekolahan peringkat kedua bermula

    Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN/SERIA, 17 JAN – Setelah melalui pembelajaran secara dalam talian disebabkan gelombang kedua wabak COVID-19, pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 kembali ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran secara fizikal pada Permulaan Persekolahan Peringkat Kedua Fasa Endemik, hari ini.

    Para pelajar berkenaan menyertai pelajar-pelajar Tahun 10 hingga 13 kembali untuk menghadiri sesi pembelajaran dan pengajaran secara fizikal sebanyak lima kali dalam seminggu.

    Media Permata berpeluang untuk membuat tinjauan serta menyaksikan proses pelaksanaan pelajar-pelajar hadir ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran secara fizikal. Dalam tinjauan ke Sekolah Menengah Masin, mendapati bahawa pelajar-pelajar apabila tiba di sekolah perlu untuk menunjukkan kod BruHealth masing-masing, mengimbas kod QR serta melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum mereka diarahkan untuk ke Dewan Sekolah bagi melaksanakan ujian ART.

    Setelah para pelajar melaksanakan ujian ART dan keputusan ujian menunjukkan negatif, mereka akan memasukkan kertas hasil pemeriksaan di dalam kotak mengikut kelas masing-masing sebelum bergerak ke bilik darjah masing-masing bagi memulakan sesi pembelajaran.

    Dalam temu bual bersama Pengetua Sekolah Menengah Masin, Hajah Norwen binti Haji Brahim berkata bahawa sekolah itu mengalu-alukan kehadiran kira-kira 730 orang pelajar dari Tahun 7 hingga 11 untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara fizikal mereka.

    Salah seorang bapa membantu anaknya menjalani ujian ART semasa hari pertama persekolahan.
    Salah seorang murid tadika menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Chung Hua di Belait.

    Para pelajar dikehendaki melakukan ujian ART di dewan sekolah sebelum mereka dibenarkan untuk mengikuti pembelajaran secara fizikal di dalam bilik darjah masing-masing.

    Namun begitu bagi hari ini, jelasnya, hanya pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 melakukan ujian ART manakala bagi pelajar Tahun 10 dan 11 pula akan melakukan ujian ART esok (18 Januari).

    Pihak sekolah telah memulakan sesi ujian ART seawal pukul 6:50 pagi bagi pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 di mana dewan sekolah boleh memuatkan seramai 150 orang pelajar sekali gus.

    Di samping itu, sekolah berkenaan mempunyai seramai 130 orang guru dan 24 orang kakitangan di mana kesemua guru serta kakitangan berkenaan telah lengkap dua dos vaksinasi dan lebih daripada 50 peratus telah mendapatkan dos penggalak.

    Beliau menerangkan lagi, daripada jumlah seramai 134 orang pelajar Tahun 7 yang memulakan pembelajaran mereka di sekolah berkenaan, terdapat seramai 37 orang pelajar yang masih belum mencapai usia 12 tahun dan belum divaksinasi serta beberapa orang yang baru menerima satu dos vaksin di mana mereka dikumpulkan dalam satu kelas supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

    Jika mereka sudah menerima dua dos vaksinasi, pelajar berkenaan akan dibenarkan untuk memasuki ke dalam kelas Tahun 7 yang sedia ada untuk mengikuti pembelajaran secara fizikal di sekolah.

    Hajah Norwen menambah bahawa bagi pelajar tahun lain, hampir keseluruhan mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksinasi.

    Selain daripada itu, sekolah itu juga mempunyai seramai 22 orang pelajar Unit Pendidikan Khas (UPK) di mana mereka hanya hadir ke sekolah bagi pembelajaran secara fizikal selama tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Rabu dan Khamis.

    Selain itu, semasa tinjauan ke Sekolah Menengah Saiyyidina Abu Bakar (SMSAB) di Skim Perumahan Negara Lambak Kanan, pengetua sekolah berkenaan, Sia Ai Chin, mengongsikan bahawa sebelum pelajar dibenarkan masuk ke kelas yang ditetapkan, mereka perlu melakukan ujian ART yang dijalankan di dewan serbaguna sekolah.

    “Ibu bapa akan menurunkan anak-anak mereka di hadapan dewan dan mereka perlu menunjukkan surat kebenaran yang ditandatangani ibu bapa membenarkan mereka menjalankan ujian ART. Jika surat itu tidak ditandatangani, mereka tidak akan dapat menjalankan ujian ART,” menurut pengetua SMSAB.

    Ketika bertanyakan bagaimana pihak sekolah akan membantu pelajar Tahun 7 mempelajari persekitaran baharu di sekolah, pengetua menjelaskan bahawa pihak sekolah telah mengadakan orientasi dalam talian selama dua hari untuk ibu bapa dan pelajar Tahun 7.

    “Kami mempunyai beberapa sesi rakaman video yang menyatakan maklumat tentang latar belakang sekolah seperti pendaftaran, hal ehwal pelajar, bahagian pentadbiran, apa yang diharapkan dan bagaimana sebenarnya perasaan pelajar apabila mereka akan memulakan pembelajaran menengah mereka.”

    Pada masa sama, pengetua turut berkongsi walaupun fasa kedua baru bermula hari ini, murid Tahun 7 berpeluang mengikuti pembelajaran di rumah sepanjang dua hari orientasi dalam talian.

    Sementara itu di Daerah Belait, Sekolah Menengah Chung Hua mengalu-alukan kembali kepulangan sebahagian pelajarnya ke sekolah.

    Pelajar-pelajar kini secara berperingkat kembali meneruskan pembelajaran di dalam kelas terutama pelajar Tadika 1 dan 2 yang ditemani oleh ibu bapa mereka pada hari pertama persekolahan.

    Menurut pengetua sekolah berkenaan, Dr Chong Kui Kian, beliau meluahkan keyakinan bahawa kesihatan dan keselamatan pelajar adalah menjadi keutamaan dan banyak usaha telah dibuat untuk memastikan semua ujian dan garis panduan dilaksanakan secara teratur.

    Manakala di Maktab Anthony Abell di Seria turut menyambut ketibaan pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9 dengan membuat langkah pengawasan yang dijalankan oleh pihak sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar serta guru-gurunya.

    Ini termasuk meminta surat kebenaran daripada pelajar, pemeriksaan suhu badan serta menjalankan ujian ART.

    Para pelajar sekolah tersebut akan memulakan pembelajaran di kelas selepas menjalani ujian ART dan kelas dalam talian hanya untuk pelajar yang masih menunggu untuk mendapatkan suntikan dos kedua atau mereka yang berusia bawah 12 tahun.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...