BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Malam Budaya yang diadakan buat malam ketiga hari ini, sempena Jubli Emas Penubuhan Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB) ke-50 tahun, telah mengetengahkan persembahan tarian budaya Korea.
Berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia BSB, acara kali ke-3 ini dikendalikan bersama oleh Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Brunei (MP3B) dengan kerjasama kelab-kelab di bawah Politeknik Brunei iaitu KCC (Korean Culture Club), Dance Club & Music Club yang mempersembahkan tarian-tarian tradisi dan moden Korea. Para peserta yang membuat persembahan terdiri daripada para pelajar dari Sekolah Perniagaan, Sekolah Kejuruteraan Sains, Sekolah Sains Perubatan dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Hadir menyaksikan persembahan selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Antara lain tujuan persembahan itu adalah untuk memperkenalkan lagi kemahiran kelab budaya Korea kepada orang ramai selain peluang untuk mendedahkan lagi budaya Korea melalui persembahan tarian. Persembahan tersebut dibukakan kepada orang ramai bagi menyaksikan tarian yang menceritakan tentang budaya Korea yang menggunakan muzik moden dan tradisional.






























