Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan keagamaan meriahkan malam Jubli Emas

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 4 Okt – Berbagai persembahan-persembahan bercorak keagamaan telah disajikan sebagai wadah rakyat memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bagi Daerah Belait, pada Persembahan Malam Keagamaan yang berlangsung di perkarangan kawasan lapang Gerai Tudung Saji, di sini, malam tadi.

    Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum persembahan-persembahan seperti Tausyeh, Nasyid, Dikir, Marhaban dan Selawat, diakhiri dengan Doa Allah Peliharakan Sultan.

    Hadir menyaksikan Persembahan Malam Keagamaan itu ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

    Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahman serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.

    Persembahan Dikir juga turut menambah ceriakan lagi Persembahan Malam Keagamaan Sambutan Jubli Emas KDYMM bagi Daerah Belait diadakan di kawasan Gerai Tudung Saji.
    Persembahan nasyid pada acara Persembahan Malam Kegamaan sempena Sambutan Jubli Emas KDYMM Menaiki Takhta bagi Daerah Belait.

    Persembahan Malam Keagamaan anjuran PEKERUPA dengan melibatkan majlis-majlis perundingan mukim dan kampung itu merupakan acara pertama bagi persembahan malam bersempena Sambutan Jubli Emas bagi Daerah Belait.

    Manakala itu, pada malam-malam berikutnya akan menampilkan persembahan yang dikendalikan oleh persatuan-persatuan dan badan-badan kebajikan Daerah Belait.

    Selain itu, turut diadakan termasuk Peraduan Dikir Syarafil Anam bagi murid-murid sekolah agama di Daerah Belait, Pertandingan Nasyid anjuran IBTE Satelit Kampus Jefri Bolkiah dan Kampus Sultan Bolkiah serta Malam Syukur Seikhlas Budi berbentuk Forum- Konsep: Penzahiran Rasa Syukur oleh Pejabat Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Daerah Belait.

    Di samping persembahan-persembahan malam keagamaan, gerai-gerai jualan turut diadakan di kawasan Gerai Tudung Saji, sepanjang musim perayaan ini yang dijangka berakhir pada 23 Oktober.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda