Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Persembahan khas Daerah Tutong zahir kesyukuran

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TUTONG, 26 JULAI – Daerah Tutong diberikan kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi daerah terakhir mempersembahkan persembahan khas yang membawa tema ‘Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja’ bersempena dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, hari ini.

    Keadaan cuaca yang cerah, bagai menguatkan lagi semangat seramai 276 orang peserta yang mengambil bahagian dalam persembahan khas di mana setiap peserta memberikan persembahan yang penuh bertenaga.

    Tema persembahan khas selama kira-kira 19 minit bagi Daerah Tutong mengetengahkan kepimpinan raja yang berdaulat memerintah dengan adil lagi bijaksana menjadi sanjungan rakyat.

    Sinopsis persembahan khas itu adalah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT
    kerana dengan izin, limpah kurnia dan rahmatNya jua telah mengurniakan seorang raja yang berdaulat memimpin negara ke arah kemakmuran dan keamanan yang berkekalan.

    Persembahan itu membawa konsep ‘Raja Berdaulat Disyukuri Rakyat’ di mana ia merupakan konsep persembahan seni yang menggabungkan persembahan tarian, nyanyian serta gerak laku bercorak tradisional, kontemporari dan moden dengan penerapan ciri-ciri Melayu Islam Beraja bagi menjunjung keberangkatan raja.

    ATAS & BAWAH: Antara persembahan yang ditampilkan semasa persembahan khas di Daerah Tutong, kelmarin.

    Ia dibahagikan kepada tiga segmen dengan interpretasi seni tarian, nyanyian, gerak laku dan penggunaan prop-prop persembahan.

    Segmen pertama iaitu ‘Syukuran Al-Hidayah’, memberi pengertian seluruh rakyat menzahirkan rasa syukur kepada segala nikmat Allah di atas rahmat dan izinNya jua mengurniakan seorang raja yang adil lagi bijaksana, mencipta keamanan dan kemakmuran yang berterusan.

    Persembahan itu dizahirkan dalam bentuk tarian, gerak laku mengikut irama bersama gabungan kumpulan koir dan nasyid kanak-kanak membawa lagu kontemporari
    dakwah.

    Segmen kedua iaitu ‘Raja Kesayangan Rakyat’, memberikan pengertian cetusan rasa mencerminkan kegembiraan serta rasa bangga rakyat dan penduduk berbilang bangsa bertemu raja diterjemahkan dalam bentuk tarian etnik tradisional tiga puak dan dua masyarakat Daerah Tutong. Ia diikuti dengan nyanyian bagi merafakkan sembah taat setia kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Segmen ketiga iaitu ‘Raja Berdaulat Disyukuri Rakyat’ membawa pengertian Baginda Sultan sentiasa bertakhta di hati dan jiwa seluruh rakyat.

    Persembahan kemuncak yang penuh gemilang dengan warna-warni disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan lagu tema dinyanyikan beramai-ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...