Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Persembahan khas fokus pembangunan di bawah pimpinan Baginda Sultan

    Oleh Syahmi Hassan & Daniel Lim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BELAIT, 21 JULAI – Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Belait, pada hari ini telah dimeriahkan dengan persembahan khas berdasarkan sub tema ‘Raja Disanjung, Rakyat Menjunjung’.

    Pengerusi persembahan khas, Awang Radiman bin Haji Idris ketika ditemui media menjelaskan bahawa inspirasi di sebalik persembahan khas tahun ini berkisar kepada pembangunan dan pertumbuhan yang dicatat oleh rakyat dan negara berkat pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
    Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Konsep di sebalik persembahan khas di Daerah Belait pada tahun ini adalah formasi tarian kontemporari yang menggambarkan kedaulatan Baginda Sultan sebagai pemimpin yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat negara.

    “Dalam memaparkan pembangunan negara dengan menggabung tarian tradisional, kontemporari dan moden, ia berfungsi melahirkan rasa syukur rakyat atas izin, limpah kurnia dan rahmat Allah SWT kepada Baginda Sultan dalam memimpin negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan keamanan berkekalan,” jelasnya.

    Menurut Awang Radiman, seramai 489 orang peserta yang terdiri daripada belia dan pelajar telah mengambil bahagian dalam persembahan khas yang digambarkan dalam tiga segmen, dengan setiap segmen mengambil masa lima minit.

    Segmen pertama bertajuk ‘Mendaulatkan dan Menjunjung’ menzahirkan rasa cinta rakyat terhadap kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerusi persembahan yang diiringi muzik tradisional dan moden.

    Ia disusuli dengan segmen kedua bertajuk ‘Keceriaan Rakyat’ yang mencerminkan kegembiraan dan keceriaan rakyat berbilang kaum ketika beramah mesra bersama Baginda Sultan, yang digambarkan menerusi lagu dan tarian dipersembahkan oleh pelbagai komuniti di daerah berkenaan.

    Acara kemuncak adalah persembahan bertajuk ‘Raja Berdaulat Disyukuri Rakyat’, pertunjukan berwarna-warni yang menggambarkan tampuk pemerintahan Baginda Sultan akan sentiasa bertapak dalam hati dan jiwa rakyat dan negara sempena meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76 tahun.

    Dengan persembahan khas tiga segmen berkenaan, Awang Radiman berharap ia akan membantu mempamerkan rasa syukur dan gembira rakyat dan penduduk terhadap Baginda Sultan, terutamanya semasa menyambut acara tahunan yang penting ini.

    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para peserta persembahan khas.
    Antara persembahan yang ditampilkan semasa majlis ramah mesra tersebut.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...