Persembahan piano serikan Hari Kebangsaan Jerman

Oleh Aziz Idris

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Bersempena dengan Hari Kebangsaan Jerman, Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Brunei Darussalam telah menjemput pemain piano berketurunan Jerman-Korea, Caroline Fisher (gambar bawah) bagi membuat persembahan klasik di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), malam tadi.

Hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Peter Hermann Wolff serta ahli-ahli Persatuan Muzik Brunei yang diketuai oleh Pengerusinya, Jane Koh selaku penganjur bersama acara berkenaan.

Turut hadir ialah ahli-ahli kor diplomatik di samping peminat-peminat muzik klasik di Brunei. Persembahan selama sejam itu menampilkan lebih sedozen lagu klasik yang dipersembahkan daripada Beethoven hingga Schuman.

Pemain piano berusia 35 tahun berkenaan telah membuat persembahan di pentas dunia dan menerima beberapa anugerah dan hadiah. Jane Koh berkata, Persatuan Muzik Brunei gembira untuk bekerjasama dengan Kedutaan Jerman bagi membawakan muzik klasik ke Brunei.

Beliau turut menyatakan perasaan teruja untuk bekerjasama dengan kedutaan-kedutaan lain di Brunei untuk mengetengahkan persembahan muzik klasik bagi peminat-peminat tempatan.