Persetujuan anak-anak menjadi keutamaan

Datuk Seri Eizlan Yusof meminta izin tiga anaknya sebelum membuat keputusan menamatkan zaman duda dengan Natasha Rossa Boudville yang bakal dinikahi pada 12 Disember ini.

Eizlan, 48, memberitahu, persetujuan anak-anak menjadi keutamaan dalam perjalanan hidup mereka. Apatah lagi, dia mahu keserasian antara Natasha, 29, yang juga mualaf, dengan tiga cahaya matanya itu.

“Memang anak-anak sangat rapat. Ini kerana kami sudah empat tahun berkawan. Cuma sejak setahun lalu, hubungan jadi semakin dekat. Sebelum melamar September lalu, saya bawa anak-anak keluar untuk bertanya pendapat mereka andai saya berkahwin dengan Natasha. Mereka menjerit kegirangan menerima Natasha. Malah, sisi lembut Natasha yang cukup prihatin dengan anak-anak, membuatkan saya tewas,” katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya baru-baru ini.

Namun, bakal isteri yang juga kakitangan pengurusan kanan di sebuah hotel lima bintang di ibu negara, tidak hadir pada majlis itu.

Eizlan berkata, Natasha yang juga berketurunan Serani, mampu menggembirakan hatinya hingga terbuka untuk berkahwin selepas empat tahun menduda.

“Sebenarnya, saya senang dengan sikap kelakar dan tahan bulinya. Saya memang kuat menyakat tetapi dia cukup kebal. Natasha memeluk agama Islam pada Ogos, tahun lalu. Namun, ia bukan kerana mahu berkahwin dengan saya,” katanya yang bakal diraikan dalam empat majlis bermula acara berinai, akad nikah, resepsi dan malam apresiasi.

Majlis pernikahan akan berlangsung di premis acara, Bora Ombak, di sini, disusuli persandingan keesokan harinya di lokasi sama. Ditanya mengenai jumlah tajaan daripada rakan rapat sempena hari bahagianya, Eizlan tidak tahu-menahu mengenai kos atau perincian acara. – Agensi

Eizlan memberitahu, persetujuan anak-anak menjadi keutamaan dalam perjalanan hidup mereka. – Agensi