WASHINGTON, 3 SEPT – Kapal perayau NASA Perseverance berjaya dalam percubaan keduanya untuk mencedok seketul batu Marikh untuk dianalisis oleh saintis di Bumi pada masa akan datang.
Usaha pertamanya pada awal bulan ini menemui kegagalan selepas batu tersebut terlalu lembut untuk bertahan penggalian robot, namun data yang diterima pada lewat 1 September menandakan proses itu berjaya kali ini.
Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) berkata semalam ia masih kurang pasti, disebabkan gambar yang diambil selepas lengan kapal perayau selesai mengambil sampel adalah tidak lengkap kerana keadaan cahaya matahari yang kurang baik.
Lebih banyak gambar yang diambil di bawah cahaya lebih baik dijangka diterima pada Sabtu.
“Kumpulan itu menentukan satu lokasi dan memilih serta mengorek batu yang berharga daripada segi saintifik,” kata Jennifer Trosper, pengurus projek di Makmal Pendorongan Jet NASA di Pasadena, dalam satu kenyataan.
“Kami akan mengatasi masalah kecil ini dengan keadaan cahaya dalam gambar dan kami berasa yakin kerana terdapatnya sampel dalam tiub ini.”
Mereka menyasarkan bata sebesar beg bimbit bergelar ‘Rochette’ dari kawasan rabung sepanjang setengah batu.
Perseverance, kapal rover terbaharu NASA ke Marikh, mendarat di kawah Jezero planet itu – tapak tasik lama – pada Februari dalam satu misi untuk mencari tanda-tanda kehidupan mikrob lama.
Ia menggunakan lengan robot sepanjang dua meter untuk mengeluarkan sampel yang lebih tebal daripada sebatang pensel, yang disimpan di bawah perutnya.
NASA merancang mengadakan misi untuk membawa pulang 30 sampel ke Bumi pada 2030, di mana saintis akan menjalankan analisis lebih terperinci yang mungkin mengesahkan wujudnya kehidupan mikrob. – AFP
