Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Tiap yang bernyawa pasti akan mati dan tidak seorang pun daripada kita tahu bila ia terjadi kerana ia adalah ketentuan Allah SWT, hanya diketahuiNya.
Namun apabila sampai waktunya dan ketika ajal seseorang, mati itu tidak akan dipercepatkan atau diperlambatkan walau sesaat pun dan manusia perlu ingat, ajal akan menjemput bila-bila masa tanpa mengira seorang itu miskin, lemah, sakit dan tua malah orang kaya, kuat, sihat dan muda pun tidak akan terlepas daripada maut.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menekankan soal kematian berkisarkan Keutamaan Mengingati Mati.
Khatib seterusnya menjelaskan antara keutamaan dan kelebihan bagi orang-orang yang sentiasa mengingati mati itu adalah melembutkan hati supaya segera bertaubat, menjaga diri daripada melakukan perbuatan dosa, mungkar dan maksiat.
Selain itu, mengingati kematian akan membangkitkan sema-ngat untuk mempertingkatkan lagi amal ibadat dan amal kebajikan, melunturkan kecintaan ter-hadap dunia, menjaga diri dari bersifat rakus dan domba ter-hadap kesenangan dan nikmat di dunia dan mendidik diri supaya bersikap rendah hati, tidak sombong dan tidak berlaku zalim.
Menurutnya lagi, sebagai orang Islam sudah setentunya kita mengimpikan dan mengharapkan supaya kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah iaitu kesudahan yang baik.
Antara cara untuk menda-patkan husunul khatimah itu ialah dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Selain itu, dianjurkan juga untuk sentiasa memanjatkan doa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh supaya pengakhiran hidup dalam iman dan takwa.
“Sedarlah orang yang tidak ingat terhadap mati sentiasa berada dalam kerugian dan janganlah terlalai atau terleka dengan tipu daya dan kesenangan di dunia tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, tambahnya.
Khatib turut mengingatkan umat Islam untuk segera bertaubat dan beribadat, jangan lagi menunda-nundanya kerana kita tidak tahu bila ajal menjemput, mungkin hari ini, esok atau lusa.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kita sama-sama berdoa agar kesudahan hayat kita kelak di tempatkan dalam golongan husnul khatimah, diberi kesempatan bertaubat sebelum menemui kematian, mendapat rahmat Allah SWT semasa menghadapi kematian.
“Selain itu, semoga kita mendapat keampunan Allah SWT selepas kematian, mendapat kebahagiaan pada hari perhitungan dan terlepas daripada seksaan azab api neraka dengan rahmat Allah, amin,” katanya.