Persiap diri tingkat amal

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Bulan Ramadan Al-Mubarak yang mewajibkan umat Islam menunaikan ibadah puasa dalam beberapa hari lagi merupakan satu nikmati rezeki kepada semua umat Islam kerana dapat dipertemukan lagi dengan bulan mulia, penuh rahmat, bulan keampunan dan bulan yang dirindui.

Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Persediaan Sebelum Menjelang Ramadan Al-Mubarak’, hari ini, berkata, menjelangnya bulan Ramadan ini, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa mempersiapkan diri untuk meningkatkan amal ibadat seperti memperbanyakkan puasa sunat, sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, dan qiamullail.

Begitu juga kita digalakkan untuk mendalami ilmu agama khususnya dalam ibadah puasa meliputi hukum-hukum puasa dan adab-adabnya dan juga ditekankan agar mengqada puasa wajib iaitu bagi mereka yang belum selesai membayarnya.

“Setiap orang mukalaf yang meninggalkan puasa Ramadan sama ada disebabkan keuzuran seperti musafir, haid, nifas, hamil dan berbuka puasa tanpa keuzuran adalah diwajibkan untuk mengqada puasa sebanyak hari yang telah ditinggalkannya,” tegas khatib.

Khatib turut menjelaskan orang-orang yang benar tidak berdaya untuk mengqada puasa seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh maka dalam hal itu mereka tidak diwajibkan untuk mengqada puasa yang ditinggalkannya tetapi wajib bagi mereka untuk membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.

Tambahnya, bagi mereka yang masih belum mengqada segeralah mengambil kesempatan mengqadanya pada bulan Syaaban ini agar tidak terkena membayar fidyah.

Turut dijelaskan fidyah bererti bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang kerana tidak berpuasa Ramadan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana orang itu melambat-lambatkan mengqada puasa Ramadan yang ditinggalkannya itu sehingga masuk Ramadan berikutnya. Dalam pada itu khatib turut menyarankan kepada semua agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan jangan terlalu berasa selesa dan leka dengan pengurangan langkah-langkah sekatan yang telah dimulakan walaupun jangkitan pandemik di negara kita dalam keadaan terkawal.

“Semoga dengan tibanya Ramadan pada tahun ini, kita akan dapat melaksanakan amal ibadat dengan sempurna dan mendapat ganjaran serta rahmat Allah SWT,” ujar khatib semasa mengakhiri khutbah.