Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiap generasi muda dalam dunia digital

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Peranan teknologi dalam pendidikan tidak dapat dipertikaikan. Ia telah merevolusikan cara kita mengajar dan belajar, merapatkan jurang dalam akses kepada pengetahuan dan meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh dunia.

    Dalam dunia digital yang serba pantas hari ini, teknologi memainkan peranan yang semakin penting dalam menyediakan generasi akan datang bagi menghadapi cabaran dan peluang abad ke-21.

    Perkara itu telah ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Laporan Pemantauan Pendidikan Global (GEM) Tahun 2023 untuk Asia Tenggara dan Sesi Perkongsian Mengenai TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital yang berlangsung di Dewan Seri Kerna Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, pagi tadi.

    Walau bagaimanapun, tekan beliau, dengan adanya teknologi yang mempunyai potensi besar untuk mengubah pendidikan, kita mesti menyedari bahawa faedahnya tidak datang secara automatik.

    Oleh yang demikian, kita mestilah bertimbang rasa dalam cara mengintegrasikan teknologi ke dalam bilik darjah dengan memastikan ia memenuhi keperluan pelajar dan pendidik. Ini selaras seperti yang dicadangkan dalam pelancaran laporan GEM berjudul Technology in Education: A Tool on Whose Terms? tersebut.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI 

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut menekankan adalah menjadi kewajipan kita, sebagai pendidik, penggubal dasar dan pemimpin, untuk memastikan generasi muda kita bukan pengguna teknologi tetapi juga inovator.

    Kita mesti menyediakan generasi kita untuk celik teknologi, melengkapkan mereka dengan kemahiran digital dan keupayaan pemikiran kritis yang akan membolehkan mereka berkembang maju.

    “Dengan pemikiran ini dan sebagai sebahagian daripada Cross Cutting Enablers dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam 2023-2027 bahawa kami komited untuk menggabungkan infrastruktur teknologi inovatif melalui transformasi digital dalam pendidikan yang meningkatkan pengalaman pembelajaran, ini memupuk penglibatan dan pemahaman yang lebih baik dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

    Bagi menyediakan generasi akan datang ke arah masa depan digital, katanya, sistem pendidikan kita mesti mampu melangkaui pengenalan alat digital di dalam bilik darjah.

    Namun dalam perkara ini, kita perlu memupuk literasi digital di setiap peringkat pendidikan, daripada peringkat awal kanak-kanak hingga ke pendidikan tinggi dan latihan teknikal dan vokasional. Pelajar mesti belajar cara menggunakan teknologi bukan sahaja untuk penggunaan pasif tetapi untuk menyelesaikan masalah secara aktif, kreativiti dan kerjasama.

    “Pada masa yang sama, kita mesti fokus untuk menyediakan guru dan pendidik kita untuk anjakan digital ini. Peranan mereka amat penting dalam membimbing pelajar tentang cara memanfaatkan teknologi secara berkesan dan bertanggungjawab. Program pembangunan profesional guru yang menggabungkan kecekapan digital akan menjadi kunci untuk memastikan pendidik dilengkapi untuk mengendalikan kaedah pengajaran baharu dan persekitaran pembelajaran digital,” tambahnya.

    Beliau turut menyatakan untuk meneruskan usaha memperkasakan kepentingan teknologi dalam pendidikan, Laporan GEM Tahun 2023 itu adalah sumber tepat pada masanya dan tidak ternilai. Laporan itu berfungsi sebagai alat penting dalam membantu mereka memahami cara teknologi yang sedang digunakan dalam pendidikan di seluruh Asia Tenggara, yang menonjolkan kemajuan yang dicapai dan cabaran yang masih dihadapi.

    Penemuan laporan itu, tambahnya, telah menawarkan kepada mereka pemahaman lebih jelas tentang kedudukan pada masa ini dalam mengintegrasikan IT ke dalam pendidikan dan ia menunjukkan ke arah bidang di mana usaha mesti ditumpukan untuk menambah baik.

    “Bagi kami di Negara Brunei Darussalam, laporan ini menjadi panduan penting dalam mengukuhkan dasar dan program kami, terutamanya semasa kami berusaha untuk menyelaraskan strategi kami dengan matlamat yang lebih luas di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda