KOTA SAMARAHAN, 11 SEPT – Persiapan akhir bagi sambutan Hari Malaysia ke-60 yang akan diadakan di Stadium Perpaduan Kuching semakin rancak dijalankan dengan hanya berbaki lima hari lagi bagi acara itu dipentaskan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia ke-60, Datuk Julaihi Narawi berkata persiapan akhir melibatkan logistik, keselamatan serta elemen budaya dan hiburan yang akan memeriahkan sambutan itu kelak, berjalan dengan lancar.
“Acara yang kita sediakan persediaan rapi adalah di peringkat akhir. Kelainan dan perkara yang kita perlu tekankan (dalam sambutan tahun ini) ialah Sarawak mempunyai ramai suku kaum dan kita boleh membuktikan bahawa kita boleh hidup dalam suasana aman damai, bersatu padu,” katanya.
Bercakap kepada pemberita di kampus Universiti Malaysia Sarawak di sini hari ini, beliau mengesahkan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar akan menjadi tetamu kehormat utama dalam sambutan itu yang akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Bernama
