Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Taklimat Keselamatan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan telah dijalankan di Sekolah Ugama Tungku, Gadong, baru-baru ini, sebagai persiapan awal bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pada bila-bila masa.
Seramai 30 orang guru dan 350 orang murid Darjah 2 hingga 6 hadir mendengarkan taklimat yang dikendalikan oleh Balai Bomba Beribi dengan diketuai oleh Pegawai Balai Bomba Beribi Muhd Hazwan bin Mawang, dan Penolong Pegawai Bomba Beribi Rustam Efandi bin Haji metusin.
Ia juga merupakan usaha Bahagian Akta Pendidikan Ugama Wajib dan Keselamatan untuk meningkatkan kualiti guru-guru agama dalam pelbagai kemahiran selain daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka di sekolah-sekolah.
Latihan seumpamanya diharap akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutama kepada guru-guru khasnya bagi memastikan kesiapsiagaan warga sekolah jika berlakunya kecemasan terutama sekali kebakaran dan diterapkan pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan pratikal.