Persiapan awal Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Jadual perlawanan padat menanti atlet kebangsaan Malaysia dengan sebahagiannya mungkin berada di luar negara hingga akhir tahun ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membentangkan perancangan kejohanan yang kebanyakannya berlangsung berturut-turut.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han berkata ia sebahagian daripada rancangan untuk mempersiapkan barisan pemain muda negara bagi Olimpik Paris 2024, yang tinggal tiga tahun selepas temasya di Tokyo tertangguh berikutan pandemik COVID-19.

“Kita hanya ada masa tiga tahun, ia cukup mencabar kerana ramai pemain muda mungkin bagus tetapi mereka juga memerlukan masa untuk meningkatkan ranking masing-masing dan perlu bermain di kejohanan lebih tinggi tahapnya. Jadi kita mahu bermula seawal mungkin, bermakna mereka perlu mula bertanding tahun ini juga,” katanya kepada pemberita.

Senarai panjang perlawanan bermula dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland dari 26 September hingga 3 Oktober, diikuti pertandingan akhir Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark (9-7 Okt), Terbuka Denmark di Odense (19-24 Okt) dan Terbuka Perancis (26-31 Okt).

Choong Hann berkata kemudian skuad negara akan terus ke Bali untuk Masters Indonesia (16-21 Nov), Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Jelajah Dunia Akhir (1-5 Dis), sebelum kembali semula ke Eropah untuk Kejohanan Dunia (12-19 Dis) di Huelva, Sepanyol. – Bernama