Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Persiapan bagi pengaktifan 5G

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Awal bulan ini, Unified National Networks (UNN) telah mengadakan Bengkel Handset 5G untuk para pemain industri dengan hasrat untuk mempersiapkan semua pihak yang berkaitan bersedia bagi 5G apabila perkhidmatan itu diaktifkan tahun ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNN, bengkel yang diadakan di Hotel Radisson pada 12 Ogos lalu itu telah dihadiri oleh lebih 60 peserta terdiri daripada kakitangan dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AI-TI), Datastream Digital (DST), imagine, Progresif dan vendor telefon bimbit di Brunei.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler yang mengendalikan bengkel tersebut telah memperincikan usaha syarikat ke arah memodenkan infrastruktur rangkaian untuk menampung peningkatan dramatik trafik data mudah alih dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Trend semasa menunjukkan bahawa dua pertiga daripada jumlah penduduk dunia patut dihubungkan dan dalam talian pada tahun depan, dan ketersambungan mudah alih yang telah menyumbang lebih separuh daripada masa tersambung dunia sejak akhir 2018 dijangka meningkat.

    Bersama-sama dengan teknologi 5G akan datang yang disasarkan untuk dilancarkan tahun ini, Dr Steffen menekankan keperluan untuk syarikat itu mengimbangi antara kebolehskalaan infrastruktur dan faedah ekonomi bagi syarikat, negara dan penduduknya.

    Sejak 1 September 2019 apabila ia mula beroperasi, UNN telah melancarkan Rangkaian Akses Radio Tunggal (SRAN) untuk terus mengembangkan jangkauan rangkaian di seluruh negara dan membawa kelajuan yang lebih tinggi dengan ketara untuk perkhidmatan mudah alih dan titik sambungan tambahan bagi meningkatkan ketersambungan dalam kawasan jarak jauh, geografi dan topikal yang mencabar di Brunei Darussalam. Setakat ini, 90 peratus sudah diliputi perkhidmatan mudah alih tersedia 5G.

    Usaha pemodenan oleh UNN telah membuahkan hasil, kerana pada Julai 2022 laporan Global Median Speed ​​terbaharu daripada Ookla mendedahkan bahawa Brunei berada pada kedudukan nombor satu di negara-negara anggota ASEAN dan nombor 14 di dunia mengatasi Singapura (kedudukan ke-18) sebagai 20 negara teratas dengan telefon bimbit terpantas dalam kelajuan internet.

    Walaupun infrastruktur negara sedia 5G, adalah penting bahawa pemain industri juga bersedia, kata Dr Steffen. 

    Walaupun terdapat banyak peranti 5G yang tersedia di seluruh dunia, adalah penting bagi vendor telefon bimbit yang berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (DST, imagine, Progresif) untuk mengetahui jenis peranti yang serasi dengan rangkaian Brunei.

    Telefon bimbit 5G dengan jalur 700MHz n28, 1800MHz n3 dan 3.5MHz n78 adalah paling serasi, dan vendor telefon bimbit serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh merujuk kepada sumber awam yang boleh dipercayai seperti GSM Arena untuk
    mengesahkan sama ada peranti 5G menyokong jalur frekuensi dan spektrum ini yang sesuai bagi Brunei.

    UNN, bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan disokong oleh AITI, akan mengendalikan lebih banyak bengkel 5G bagi para pemain industri dalam beberapa bulan akan datang untuk menyediakan semua pihak bagi 5G akan datang dan menyelaraskan mereka dengan objektif Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah negara pintar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...