Persiapan diri dalam dunia keusahawanan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Seramai 58 orang pelajar Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Bengkel Keusahawanan 2020 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini.

Bengkel anjuran UNISSA melalui FEKIm itu diadakan di Auditorium, UNISSA di mana majlis penutup dihadiri oleh Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.

Antara objektif bengkel adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam diri pelajar mengenai kepentingan bekerja sendiri dan memilih bidang keusahawanan sebagai pilihan realistik mencari sumber rezeki yang halal dalam kehidupan.

Bengkel direka khusus untuk membuka minda para peserta menjana pendapatan di samping menanam sikap komitmen dan disiplin yang tinggi supaya mereka bersedia untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan nanti menerusi pe-luang-peluang yang sedia ada.

Semasa bengkel itu, para peserta diberikan pendedahan tentang teknik mengembangkan idea perniagaan ke dalam pelan perniagaan yang bersistematik, berdaya saing serta cara-cara pengurusan kewangan, kos operasi, teori pengurusan dan pemasaran.

Bengkel dibimbing oleh Penasihat Perniagaan, Pengajian Tinggi, Program Keusahawanan dari LiveWIRE Sdn Bhd, Awang Afiq bin Muhammad.

Dua sesi ceramah umum juga diadakan sebagai pengisian bengkel iaitu Ceramah Umum Keusahawanan Islam bertajuk Peluang Saya yang disampaikan oleh Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas dari LiveWIRE Sdn Bhd dan Ceramah Umum Kewangan Islam bertajuk Investment and Asset Classes yang disampaikan Pengarah Eksekutif Yasaar Advisory Services Sdn Bhd, Haji Aidil Bahrin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Salleh.

Majlis penutup turut menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara FEKIm UNISSA dengan LiveWIRE Sdn Bhd dan Yasaar Advisory Services (B) Sdn Bhd.

Menurut Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, penandatanganan MoU tersebut merupakan satu titik penting yang membuka jalan kepada kedua-dua buah institusi untuk mengembangluaskan lagi skop hubungan kerjasama dua hala di pelbagai bidang khasnya dalam pertukaran bidang kepakaran, pengalaman dan kemahiran.

Antara peserta yang menghadiri bengkel keusahawanan tersebut.