Persiapan Hari Raya dahulu dan sekarang

Oleh Adhwa Firdaus Haji Hassim

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Namun, sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza sedikit dari tahun-tahun yang sudah kerana dunia dalam ancaman COVID-19.

Persediaan kita untuk menyambut Aidilfitri juga berbeza dan tidak semeriah seperti biasanya kerana kita mengetahui kerajaan hanya mengehadkan sambutan bersama ahli keluarga terdekat iaitu anak menziarahi ibu bapa atau adik-beradik sahaja dengan dijadualkan secara teratur bagi mengelakkan datang secara serentak. Manakala, bagi keluarga yang besar pula hendaklah mengehadkan kepada 20-30 orang sahaja pada satu-satu masa mengikut kesesuaian keluasan rumah berkenaan.

Justeru, kunjung mengunjungi sanak saudara pada tahun ini adalah ditegah sama sekali.

Hasrat untuk mengadakan rumah terbuka seperti biasa tahun ini juga hanyalah tinggal harapan. Manakala perkhidmatan katering dan restoran juga turut terjejas dengan peniadaan rumah terbuka.

Pada suatu ketika dahulu, kad ucapan Hari Raya merupakan paling dinantikan namun kini ia hilang begitu saja kerana dianggap ketinggalan zaman. – Agensi
Ketupat, lemang dan rendang merupakan juadah yang biasa dihidangkan pada pagi Hari Raya. – Agensi

Meskipun sambutan Aidilfitri pada tahun ini tidak semeriah yang diharapkan, penulis cuba menyentuh beberapa hal tentang sambutan Aidilfitri yang biasa dilakukan oleh kita sebelum dan sepanjang bulan Syawal.

Persiapan sambutan Hari Raya

Bagi persiapan sambutan Hari Raya, orang kita dapat dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang yang suka melakukan persiapan awal dan kedua, orang yang suka melakukan persiapan pada saat-saat akhir.

Golongan pertama, pada kebiasaannya mereka melakukan pada pertengahan bulan Ramadan atau kadangkala dua minggu sebelum masuk fasa terakhir bulan Ramadan.

Segala bahan-bahan mentah masakan seperti daging, ayam dan lain-lain sudah siap sedia disimpan di dalam peti sejuk kecuali bahan-bahan yang perlu dibeli dua atau tiga hari sebelum Hari Raya seperti kelapa parut.

Bagi kaum lelaki, ada yang sudah memasang lampu cucul untuk memeriahkan suasana halaman rumah. Manakala kaum wanita akan mengemas di rumah dan menyusun barangan hidangan Raya seperti kuih-muih dan biskut.

Berbeza pula dengan golongan yang melakukan saat-saat akhir, semua bahan-bahan mentah masakan baru dibeli pada fasa dua hari sebelum dan yang parahnya lagi ada yang membeli sehari sebelum Hari Raya. Ada yang mengemas rumah, memasang lampu cucul dan malah membeli perabot baharu pada waktu malam yang keesokannya Hari Raya.

Bagi persiapan pakaian untuk Hari Raya di negara kita, pada kebiasaannya ada sesetengahnya sudah awal menempah baju di kedai-kedai jahit pada awal tahun malah ada sudah menempah pada tahun lepas. Bagi yang kurang berkemampuan, pada kebiasaannya menempah saat-saat akhir dan ada juga yang memakai pakaian lama yang masih elok dipakai.

Namun, semua ini pada era moden serba serbi mudah diperolehi di kedai-kedai atau pusat membeli belah. Jika kita mengimbau pada masa dahulu ketika era ibu bapa kita masih muda memang jauh bezanya.

Pernah sekali, ibu penulis sendiri berkongsi cerita, bapa beliau akan ke hutan mencari kayu api untuk dijadikan kayu memasak di dapur. Segala bahan-bahan mentah dibuat sendiri seperti memarut kelapa, menyembelih ayam, memasak juadah awal Syawal, semuanya serba-serbi sendiri.

Kini kita, asal ada duit sudah dapat diperolehi di kedai-kedai tanpa mengeluarkan tenaga untuk melakukannya. Mungkin ada sesetengah orang kita masih mengamalkan seperti waktu dahulu pada ketika ini. Melakukan sendiri itu sememangnya meletihkan namun kenikmatannya lebih dirasakan.

Dulu lampu-lampu pelita yang diperbuat daripada buluh menerangi halaman rumah, malah ada sesetengah kampung mengadakan pertandingan bagi rumah siapa yang lebih meriah.

Satu hal yang sudah lama ditinggalkan begitu saja pada ketika ini yang merupakan salah satu kemeriahan Hari Raya adalah menunggu kad ucapan Hari Raya daripada ahli-ahli keluarga jauh dan rakan-rakan. Berbalas-balas kad-kad ucapan Hari Raya yang dinanti-nanti setiap menjelang Hari Raya pada ketika dahulu.

Namun kini, ia dianggap ketinggalan zaman kerana kemodenan, hanya memanjangkan ucapan di media-media sosial dan mesej.

Pada hari terakhir bulan Ramadan, pada kebiasaannya kita akan menanti pengumuman merukyah anak bulan Syawal di corong-corong radio dan siaran televisyen bagi mengetahui tarikh awal bulan Syawal untuk menandakan bermulanya Hari Raya.

Masing-masing ahli keluarga tidak mengira peringkat umur pasti berkumpul mendengar atau melihat pengumuman berkenaan sehinggakan ada yang awal menanti di depan radio atau televisyen kerana terlalu teruja untuk mengetahuinya. Setelah pengumuman diketahui dan bermula malam tersebut sehingga esoknya awal bulan Syawal, masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara mula bertakbir raya.

Bagi golongan yang melakukan persiapan akhir, setentunya akan bergegas menyiapkan dalam satu malam sehinggakan ada yang bertongkat mata semata-mata untuk menyiapkan persiapan. Kemeriahan dahulu yang juga ketika ini tidak dapat kita lihat adalah kanak-kanak bermain bunga api. Dahulu, bunyi dentupan mercun kedengaran setelah mengetahui pengumuman anak bulan Syawal. Kini agak sepi kerana kerajaan telah menegahnya bagi keselamatan bersama.

Awal bulan Syawal

Pada awal pagi bulan Syawal, seluruh umat Islam terutama kaum lelaki akan pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri. Setelah itu, pulang ke rumah masing-masing, bermaaf-maafan sesama ahli keluarga dan menikmati jamun Hari Raya.

Namun pada tahun ini, kerajaan mengesyorkan kita melakukan sembahyang sunat Hari Raya di dalam rumah masing-masing bersama ahli-ahli keluarga kita sahaja.

Sambutan juga hanya terhad bagi ahli-ahli keluarga terdekat sahaja. Penjarakan sosial tetap dijaga seperti tidak bersalam-salaman, menjarakan kedudukan tempat duduk dan sebagainya.

Bagi sesetengah orang, ada yang menziarahi pusara di pagi Syawal, namun kini tidak dapat secara ramai dan hanya terhad dapat menziarahi. Tidak dapat menziarahi ke rumah sanak saudara secara beramai-ramai dan tidak ada rumah terbuka.

Namun, meskipun Sambutan Hari Raya tahun ini tidak semeriah tahun yang sudah, tidak bererti kita membiarkannya suram begitu saja.

Banyak cara yang dapat kita lakukan untuk memeriahkan dan menyambut kemenangan kita sebulan berpuasa. Kita harus bersyukur apa adanya dan menerima semua ini dengan hati terbuka kerana setentunya pasti ada hikmahNya. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.