Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapan meriah menjelang sambutan Tahun Baru Cina

    INDONESIA – Komuniti Cina di negara ini akan meraikan Sambutan Tahun Baru Cina atau juga dikenali sebagai Imlek pada 28 Januari ini.Di China, sambutan tersebut juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga dan merupakan hari kebesaran utama di negara itu.Tahun Baru Cina secara rasminya dijadikan sebagai cuti awam di Indonesia sejak 10 tahun yang lalu.

    Kira-kira tiga peratus daripada penduduk dan masyarakat bukan asli di Indonesia terdiri daripada etnik Cina di mana didapati ramai daripada mereka yang menetap di kawasan bandaraya yang aktif dalam menjalankan aktiviti perdagangan dan perniagaan.

    Sejak beribu tahun yang lalu terdapat 12 binatang telah dipilih sebagai simbol dalam Tahun Baru Cina dan istimewanya lagi tahun ini ia disambut berdasarkan daripada simbol ayam jantan.

    Seringkali etnik Cina yang meraikan acara kebesaran tersebut mengharapkan mereka bakal dikurniakan tuah yang baik termasuk kesihatan dan pendapatan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

    Justeru, setentunya terdapat beberapa pantang-larang yang tetap diamalkan sebagai sebahagian daripada adat dan tradisi yang mereka warisi secara turun-temurun seperti keadaan rumah tidak kira bahagian dalaman atau sekeliling rumah harus berada dalam keadaan bersih sebelum tibanya Sambutan Tahun Baru Cina.

    Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini adalah bersimbolkan tahun ayam jantan. – Xinhua
    Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini adalah bersimbolkan tahun ayam jantan. – Xinhua
    Pelbagai perhiasan berwarna merah yang sering dijadikan dekorasi sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang ditawarkan. – Xinhua
    Pelbagai perhiasan berwarna merah yang sering dijadikan dekorasi sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang ditawarkan. – Xinhua

    Perkara ini adalah penting berikutan daripada terdapatnya larangan untuk menyapu bahkan kelengkapan untuk membersihkan kawasan rumah seperti penyapu, berus dan lain-lain hanya di simpan di dalam tempat yang tersembunyi dan dilarang daripada penggunaannya berikutan daripada kepercayaan yang menyatakan bahawa perbuatan menyapu pada hari tersebut secara tidak langsung turut menolak segala tuah untuk masuk ke dalam rumah.

    Antara persediaan awal yang dilakukan ketika meraikan Sambutan Tahun Baru Cina ini, ahli keluarga juga melakukan dekorasi rumah dengan pelbagai hiasan seperti bunga yang berkembang mekar dalam melambangkan kejayaan dan kekayaan, hidangan buah limau yang memberikan simbolik kepada unsur kegembiraan yang diharapkan.

    Warna utama yang sering ditampilkan dalam kebanyakan dekorasi adalah merah dan emas di mana ia jelas cukup popular di kalangan etnik Cina.

    Manakala di bahagian meja pula akan dihidangkan hidangan yang digelar The Tray of Togetherness yang mengandungi lapan jenis sajian buah kering manis yang diletakkan pada bekas berbentuk bulat ataupun oktagon yang melambangkan kepada aspek penerimaan nasib yang baik.

    Kata-kata puitis yang mengandungi mesej positif ditulis dengan warna cat keemasan pada kertas berwarna merah pula akan dijadikan sebagai hiasan di bahagian dinding dan pintu di mana ia dianggap sebagai satu semangat yang boleh membawa tuah baik dalam kehidupan sempena kehadiran tahun baru.

    Kad ucapan sempena Sambutan Tahun Baru juga banyak ditawarkan di pasaraya utama di mana ia boleh dikirimkan kepada sahabat dan rakan sekerja.

    Pada hari Sambutan Tahun Baru Cina tersebut, etnik Cina yang meraikannya adalah digalakkan untuk bangun awal kerana dipercayai sesiapa yang terlewat bangun akan menjadi seseorang individu yang pemalas sepanjang tahun.

    Sementara pakaian berwarna merah pula menjadi pilihan utama sewaktu sambutan tersebut memandangkan warna yang terang itu dianggap sebagai warna ceria di mana ia diyakini dapat memberikan penampilan yang ceria kepada para pemakai sekaligus memberikan masa depan yang cerah kepada mereka di sepanjang tahun.

    Setentunya Sambutan Tahun Baru Cina ini melambangkan hari perhimpunan dan waktu perjumpaan sesama keluarga. Bagi keluarga yang memiliki ahli yang ramai pula setentunya ini adalah peluang untuk mengenal sesama ahli keluarga lain yang jarang bertemu muka sekaligus mengikat hubungan silaturahim sesama mereka.

    Ungkapan Gong Xi Fat Choi pula digunakan sebagai satu ucapan sempena kehadiran Tahun Baru Cina yang memberi makna kemakmuran dan kegembiraan yang berpanjangan.

    Tarian singa atau naga merupakan antara beberapa persembahan yang sering dipersembahkan bagi memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina. – Xinhua
    Tarian singa atau naga merupakan antara beberapa persembahan yang sering dipersembahkan bagi memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina. – Xinhua

    Selain itu, anak-anak kecil juga setentunya berasa teruja apabila menerima sampul surat merah berisi wang yang dikenali sebagai ang pau. Malah mengikut tradisi Cina pasangan yang sudah berkahwin juga turut akan memberikan ang pau kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang belum berkahwin.

    Malah, mereka juga turut mengingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia dengan membacakan doa dan mengadakan ritual untuk menghidangkan jamuan istimewa seperti teh, epal, oren, biskut, pulut sebagai salah satu penghargaan kepada mereka.

    Setiap hidangan istimewa tersebut disusun di atas pinggan dalam jumlah yang tidak sekata serta diletakkan di atas meja yang dihias cantik dengan lapik meja berwarna merah.

    Di samping itu, pelbagai jenis makanan tradisi yang terdiri daripada hidangan sayur-sayuran, timun laut, ikan dan sayur-sayuran turut dihidangkan kepada ahli keluarga dan teman-teman yang datang berkunjung bagi meraikan Sambutan Tahun Baru Cina itu.

    Bersempena dengan kehadiran Tahun Baru Cina ini, golongan etnik Cina ini juga akan pergi ke kuil-kuil untuk menunaikan sembahyang dan bacaan doa yang tertentu.

    Terdapat beberapa buah kuil Cina yang juga dikenali sebagai klenteng atau vihara dapat dilihat di sekitar Jakarta. Salah satu kuil yang tertua adalah Dharma Bhakti terletak di Glodok yang telah dibina pada tahun 1650.

    Bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina ini, persembahan Opera Cina dan tarian singa atau naga di mana ia dikenali sebagai barongsai turut dipersembahkan bagi tempoh beberapa hari.

    Persembahan-persembahan tersebut turut diiringi dengan pelbagai bunyi muzik daripada drum, gong dan cymbal serta persembahan bedil yang dipercayai dapat menghalau segala semangat atau pengaruh jahat sekaligus mendatangkan kebaikan sempena kedatangan Tahun Baru.

    Pada waktu malam, ahli keluarga lebih memilih untuk bermain pelbagai permainan atau berbual sambil menyaksikan persembahan bunga api yang setentunya menerangi lagi suasana malam yang gelap.

    Pada hakikatnya, merah bukan sahaja dianggap sebagai warna bertuah bagi kaum Cina bahkan mengikut kepercayaan mereka ia juga berupaya untuk menakutkan sejenis raksasa yang dikenali sebagai Nian.

    Mengikut tradisi Cina, raksasa tersebut sering mengganas dengan merosakkan segala tanaman sekaligus penghalang kepada sumber kekayaan dan itu yang cuba dielakkan sempena dengan kehadiran Tahun Baru Cina. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda